21 Oktober 2011

Penganggur dakwa ragut rantai sebab lapar

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 21 Okt. - ``Saya ada ibu bapa yang telah tua untuk disara. Saya terpaksa lakukan kesalahan ini sebab saya juga sudah beberapa hari tidak makan. Minta jasa baik Yang Arif untuk ringankan hukuman.’’

Demikian rayuan seorang penganggur yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan meragut rantai leher emas bernilai RM1,000 milik seorang pekerja kilang warganegara Sri Lanka.

Ronnie Rickson Anak Aron, 30, mengaku menyamun wanita tersebut, Priantha Samara Arachi, 30, di Jalan Persiaran Budiman, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada pukul 4.40 petang, Sabtu lalu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditahan iaitu pada hari kejadian.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Che Rohana Ismail mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda serta sebatan.

Mengikut fakta kes, Priantha dan suaminya sedang berjalan di tempat kejadian apabila Ronnie Rickson yang berasal dari Kuching, Sarawak tiba-tiba menghampiri dan merentap rantai leher yang dipakainya.

Melihat kejadian itu, suami mangsa bertindak mengejar tertuduh serta merampas semula rantai tersebut sebelum menyerahkan lelaki itu kepada pihak polis. - Utusan

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau hukum Hudud mungkin kes ni di maafkan krn pelakunya bertindak krn dah beberapa hari tak makan kalau sesiapa pun jika dah beberapa hari x makan akan sanggup melakukan apa sj demi perut..bukan terus nak potong tangan.islam tu cantik.