13 Disember 2012

Berjiran dengan sampah

29 Muharram 1433H. [MOD] -

Berjiran dengan sampah
Tempat pembuangan sampah berdekatan Medan Selera Wakaf Tapai yang dikatakan menjadi jiran kepada penduduk dan peniaga serta hampir dengan jalan raya.
 
MARANG – Setiap kali isu bau sampah diketengahkan, mungkin nampak kecil dan remeh bagi sesetengah orang namun bagi mereka yang menanggung akibatnya, masalah dihadapi setiap hari itu sangat besar dan memberikan kesan mendalam.

Situasi inilah yang terpaksa dihadapi peniaga dan penduduk berdekatan Medan Selera Wakaf Tapai di Pengkalan Berangan di sini, yang menjadi jiran dengan tempat pembuangan sampah berhampiran kawasan kedai serta rumah mereka.

Penduduk terlibat turut mendakwa, dua tong utama rosak, manakala beberapa tong kecil berwarna biru dan hijau itu juga diletakkan di luar kawasan takungan disediakan.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wakaf Tapai Kiri, Abdul Jalil Abdul Razak, 47, berkata, jika tiada kawasan bersesuaian bagi menggantikan tempat pembuangan sampah sedia ada, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera menggantikan dua tong sampah utama yang telah rosak.
“Jangan abaikan aduan penduduk dan peniaga di sini. Kami tidak mahu PBT mengambil sikap berdiam diri sahaja.

"Penduduk dan JKKK Wakaf Tapai Kiri juga telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tindakan yang perlu dilakukan tetapi ia tetap di bawah bidang kuasa PBT," katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan juga perlu memastikan pekerja yang mengangkut sampah meletakkan semula tong sampah di tempat takungan disediakan, bukannya di tepi jalan.

"Kami harap masalah ini dapat segera diselesaikan kerana PBT bertanggungjawab membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk.

"Peniaga juga pasti tidak mahu keadaan persekitaran mereka kotor dan berbau busuk kerana menjejaskan sumber pendapatan mereka," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga hanya mahu dikenali sebagai Awang, 40-an, berkata, lebih memburukkan keadaan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah seperti perabot dan kaca.

"Keadaan ini sudah pasti mengundang musibah jika objek berkenaan bertaburan di atas jalan raya.
"Saya bersetuju jika PBT segera memindahkan tempat pembuangan sampah ini ke lokasi lebih jauh dari jalan raya, rumah penduduk dan kedai tetapi tong sampah kecil yang mudah dipindahkan kekal disediakan di kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu, aduan mengenai masalah berkenaan telah dipanjangkan ke unit aduan Majlis Daerah Marang (MDM).

sinar/-

Tiada ulasan: