PETALING JAYA: Anda hanya mempunyai 19 hari sahaja lagi untuk
mendaftar sebagai pengundi jika mahu membuang undi pada pilihan raya
umum ke-13 yang mungkin diadakan antara Februari dan Mei tahun depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa semua rakyat Malaysia yang
layak dan masih belum mendaftar sebagai pengundi untuk berbuat demikian
sebelum 31 Disember ini bagi membolehkan senarai nama dimasukkan dalam
suku keempat 2012 yang dijangka akan diwartakan pada Februari ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mereka yang
gagal berbuat demikian tidak akan dapat mengundi jika pemilihan diadakan
sebelum senarai pengundi seterusnya dikemaskini dan diwartakan pada Mei
2013.
“Ada yang meramalkan Parlimen akan dibubarkan pada awal Mac manakala yang lain mengatakan ia boleh jadi akhir bulan Mac.
“Dalam mana-mana kes, masih terdapat beberapa hari lagi sebelum 31
Disember, jadi sila mendaftar sekarang kerana ramalan mungkin menjadi
kenyataan dan pilihanraya diadakan dalam tempoh tersebut,” kata Wan
Ahmad kepada The Star.
Sehingga 30 September, 20.3 peratus atau 3,346,460 daripada
16,451,867 rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar
dengan suruhanjaya itu.
Tempoh semasa Parlimen berakhir pada 28 April dan pemilihan mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu.
Wan Ahmad berkata SPR akan menambah daftar pengundi baru dengan
segera selepas setiap suku tahun berakhir tetapi semua rakyat Malaysia
yang masih belum mendaftar harus melakukannya kerana masa diperlukan
untuk memproses permohonan mereka.
Maklumat mengenai bagaimana untuk mendaftar tersedia di laman web www.spr.gov.my.
mStar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan