13 Disember 2012

Ragam berkahwin pada 12.12.12

29 Muharram 1433H. [MOD] -

HONG KONG - Ribuan pasangan di Hong Kong, tanah besar China, India dan Asia Tenggara melangsungkan perkahwinan pada tarikh 12.12.12.

Pihak berkuasa di Hong Kong menyatakan seramai 696 pasangan melangsungkan perkahwinan semalam manakala di Singapura melibatkan 540 pasangan.

Sejumlah pasangan di tanah besar China turut berbaris untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat pendaftaran perkahwinan.

Menurut laporan media, lebih 4,700 orang membuat permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Hal Ehwal Awam di Beijing. 

Di beberapa buah bandar Indonesia, terdapat ibu-ibu yang sanggup menjalani pembedahan bagi membolehkan anak mereka lahir pada tarikh 12.12.12.

Seramai 12 wanita, sebahagiannya berketurunan Cina menempah untuk dibedah awal di Hospital Bunda, Jakarta untuk melahirkan anak pada tarikh tersebut.

"Mereka (ibu-ibu) menyatakan mereka mahu melahirkan anak pada hari ini (semalam) kerana menganggap tarikh itu unik dan istimewa," kata jurucakap hospital tersebut, Samuel Robert.

Ratusan orang kelihatan berbaris di sebuah pejabat pendaftaran perkahwinan di Hong Kong dengan ramai pasangan sibuk bergambar dengan pakaian pengantin.

"Hari ini (semalam) merupakan amat istimewa dan kami boleh berkahwin sebelum 'hari kiamat' berlaku," gurau seorang pengantin lelaki, Raymond Ip.

Dia merujuk tentang hari kiamat yang diramalkan berlaku pada 21 Disember depan berdasarkan kalendar Maya.

Menurut Ip, tiada tarikh 13.13.13 menyebabkan dia menempah tarikh 12.12.12 untuk melangsungkan perkahwinan.

Menurut pengantin wanita, Terrance Fung, 29, tarikh 12.12.12 mempunyai keistimewaan kerana ia tarikh akhir untuk abad ke-21 yang mempunyai nombor yang sama.

Di Yogyakarta, Indonesia, seramai 12 pekerja berkahwin dengan pasangan masing-masing di sebuah kilang tebu.
Sementara itu, sistem komputer di pejabat daerah Bang Rak, Bangkok tidak dapat memproses permohonan perkahwinan yang terlalu banyak pada tarikh 12.12.12.

Menurut akhbar Bangkok Post, pengarah daerah itu, Ziachana Soodcharoen berkata, ramai pasangan yang menunggu sejak awal pagi di pejabat tersebut.

Pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan, pihak pejabat tersebut mengumumkan bahawa sistem komputer mengalami masalah kepada kumpulan bakal pengantin yang mahu mendaftarkan perkahiwnan.

Justeru, ramai pengantin terpaksa pergi ke daerah berdekatan untuk memperoleh sijil perkahwinan mereka.
Ramai pasangan yang mahu mendaftarkan perkahwinan di daerah Bang Rak itu kerana rak bermaksud cinta dalam bahasa Thailand.

Seorang pakar komputer di sebuah pejabat pentadbiran wilayah, Wichian Chidchanoknart berkata, komputer tersebut lambat memproses permohonan kerana jumlah pasangan yang mahu berkahwin pada tarikh tersebut terlalu ramai.

Di India, pasangan Brandon Pereira dan Emilia D'Silva dianggap paling bertuah kerana bertunang pada 10.10.10 dan mendaftarkan untuk perkahwinan secara sah pada 11.11.11 tetapi mengadakan majlis perkahwinan pada 12.12.12. 

Di selatan Filipina, Ronnel Piligrino dan Anna Marie Poblacion meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah khemah perlindungan untuk mangsa-mangsa taufan Bopha di bandar Osmena.

Majlis perkahwinan itu diadakan walaupun penduduk masih belum pulih daripada kesan taufan tersebut yang melanda pada 4 Disember lalu.

Taufan itu membunuh 647 orang dan menyebabkan sektor pertanian mengalami kerugian sebanyak AS$210 juta (RM640.84 juta). - Agensi


Tiada ulasan: