29 Muharram 1433H. [MOD] -
IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan Perak mengesan empat kejadian
vandalisme ke atas kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) daripada
tujuh yang dipasang di beberapa lokasi, antara Oktober dan November
lepas.
Pengarah JPJ Perak, Ramli Awg Seberang berkata, ia melibatkan kamera
yang dipasang di kilometer 205.6 berhampiran Kamunting dan kilometer
373.2 di Slim River, kedua-duanya di Lebuh Raya Utara-Selatan yang
disembur cat merah dan dipercayai ditumbangkan.
Beliau berkata, sebuah lagi kamera di Jalan Pasir Putih di sini juga
dipercayai ditumbangkan dan sebuah lagi di Sungkai disembur cat hitam.
“Kita kategorikan semua kes ini sebagai kes vandalisme berat,”
katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai AES kepada
jabatan dan agensi kerajaan, pihak media dan badan bukan kerajaan di
sini hari ini.
Ramli Awg berkata, pihak syarikat penyedia AES telah membuat laporan
polis berhubung kejadian tersebut dan menambah setakat ini tiada
tangkapan dibuat terhadap pihak yang dipercayai sengaja melakukan
perbuatan berkenaan.
Beliau berkata, syarikat penyedia perkhidmatan menanggung kos
penyelenggaraan atau baik pulih AES yang mengalami kerosakan atau
bermasalah.
Katanya pusat kawalan AES di Kuala Lumpur akan mengesan kes vandalisme yang berlaku.
“Bagi kes vandalisme, syarikat penyedia akan membuat laporan polis
pada hari yang sama kejadian berlaku. Kes vandalisme ini susah hendak
dielakkan, kadang-kadang pada waktu siang, kamera AES berada dalam
keadaan baik, tapi esok pagi sudah tumbang atau disembur cat,” katanya.
Ramli Awg berkata, JPJ Perak akan meneruskan program penerangan
mengenai AES kepada orang ramai yang dimulakan pada 5 Disember lepas. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan