13 Disember 2012

Ranking Malaysia Dalam Matematik & Sains Merosot

29 Muharram 1433H. [MOD] -

Muhyiddin perlu jelas kemerosotan Malaysia dalam matematik, sains

KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER: Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassan digesa memberi penjelasan mengenai kemerosotan berterusan Malaysia dalam subjek matematik dan Sains berdasarkan kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nuru Izzah Anwar dan Strategis Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataan bersama hari ini mendakwa jurang markah antara pelajar lelaki dan perempuan dalam subjek berkenaan begitu ketara.

Menurut mereka, pelajar Malaysia ketinggalan dalam matematik dan sains berbanding negara lain berdasarkan kajian dua badan pendidikan antarabangsa menunjukkan pencapaian sekolah menengah tahun ini lebih rendah berbanding sebelumnya.

Katanya, Malaysia hanya mendapat 440 mata dalam matematik untuk tingkatan dua bersamaan gred lapan di seluruh dunia dan kajian TIMSS pada 2011 dan berada di belakang Korea Selatan, Singapura, Chinese Taipei, Hong Kong dan Jepun yang menduduki lima tangga teratas dunia.

“Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pelajar Malaysia dalam matematik merosot daripada 508 mata pada 2003 kepada 474 mata pada 2007, manakala subjek sains merosot daripada 510 kepada 471 dalam tempoh yang sama.

Tony Pua berkata, dalam kajian TIMSS 2007 yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat, kemerosotan skor purata pelajar Malaysia 34 mata bagi matematik dan 40 mata bagi sains adalah terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian.

“Kami mahu Muhyiddin memberi penjelasan menyeluruh mengenai kemerosotan itu dan mengambil langkah khusus menangani masalah itu bagi meyakinkan rakyat Malaysia.

“Walaupun laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ada membangkitkan isu ini, namun tiada langkah khusus dan terperinci dinyatakan bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

TIMSS adalah kajian selama empat tahun untuk pendidikan sains dan matematik bagi gred empat dan lapan di seluruh dunia ― atau Darjah Empat dan Tingkatan Dua mengikut sistem pendidikan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi Malaysia kajian hanya dilakukan bagi peringkat sekolah menengah dalam kajian terbabit. -Roketkini

Tiada ulasan: