13 Disember 2012

KEADILAN desak Zainudin mohon maaf pada Habibie dan Anwar

29 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Dis: Bekas Menteri Penerangan, Zainudin Maidin digesa memohon maaf kepada mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran kenyataan dangkal dan fitnah beliau terhadap kedua-dua pemimpin ini seperti dilapor akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia.

“KEADILAN mendesak Zainuddin segera memohon maaf secara terbuka kepada kedua-dua tokoh ini. Kepimpinan Umno juga perlu tegas menzahirkan rasa kesal di atas keterlaluan dan sikap keji yang digambarkan melalui kenyataan tersebut,” kata Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan hari ini.

Mengecam keras, Azmin berkata, KEADILAN tidak terkejut dengan kenyataan Zainuddin kelmarin bertajuk ‘Persamaan B.J. Habibie dengan Anwar Ibrahim’ kerana ia ditulis oleh orang yang dibesarkan dalam Utusan, akhbar picisan milik Umno yang tidak langsung menjana pemikiran rakyat, tetapi sentiasa menjadi alat untuk menghambur fitnah.

“Adalah tidak salah untuk kita menyatakan Zainudin sedang menghidap ‘Sklerosis Intelek’ yang kronik sebagaimana sebahagian besar pimpinan Umno lain.

“Malah sikap yang dinyatakannya adalah budaya politik lazim Umno yang hanya akan menyerang keperibadian individu dan menabur fitnah tanpa batasan.

“Rencana tersebut amat memalukan lantaran beliau menggambarkan prasangka keji kepimpinan Umno terhadap Indonesia,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Zainuddin melahirkan rasa kesal dan mempertikaikan kenapa Habibie dipanggil untuk memberi syarahan di negara ini kerana beliau adalah pengkhianat kepada politik Indonesia termasuk kepada bekas presiden Suharto.

Kata Zainuddin, Habibie adalah orang yang menjadi gunting di dalam lipatan terhadap Suharto. Beliau juga mengatakan

kependekan tempoh Habibie menjadi presiden Indonesia selama setahun setengah disebabkan rakyat Indonesia menolak Habibie.

Azmin berkata, kenyataan Zainuddin itu akan mempersulit hubungan dua hala Malaysia-Indonesia kerana ia adalah manifestasi kepada sikap saling hormat-menghormati dan kesedaran bahawa negara ini punya akar budaya yang mengikat antara satu sama lain di samping faktor ekonomi.

Tambah beliau, hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia melangkaui sempadan geografi malah persaudaraan antara dua negara berteraskan ikatan serumpun yang akrab dari sudut budaya dan agama.

Beliau menyifatkan, Habibie seorang reformis dan intelektual bangsa yang berjaya mengubah hala tuju pentadbiran negara ke arah sebuah sistem demokratik dengan memerdekakan rakyat dari belenggu pemikiran dan hegemoni sempit.

Sebagai negarawan, kata Azmin, Habibie juga seorang yang peduli rakyat dan memiliki semangat setiakawan yang luhur.

“Saya sendiri menyaksikan secara dekat betapa bapak Habibie dan isteri, Almarhumah Ibu Ainun begitu prihatin semasa Datuk Seri Anwar menjalani rawatan di Munich, Jerman pada 2004,” kata Azmin.

“Hal ini menjelaskan betapa akrab hubungan keluarga kedua-dua tokoh yang turut memperkukuh hubungan dua hala Malaysia Indonesia,” sambungnya.

keadilan/-

Tiada ulasan: