05 Mei 2013

Kamilia Keluar Buang Undi Ditemani Anak-Anak, Rasa 'Lebih Bebas'

24 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Kamilia menunjukkan jarinya yang telah ditanda dengan dakwat kekal sebelum beliau membuang undi di Sekolah Kebangsaan Ulu Piul, Kuala Kangsar, Ahad.
KUALA KANGSAR: Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Kuala Kangsar menyifatkan pengundiannya kali ini sebagai 'lebih bebas'.
Beliau berkata sudah sampai masanya beliau memasuki fasa senario politik tanpa perlu terikat dengan ideologi atau dasar-dasar yang ditentukan parti.
"Pada hari ini saya bebas untuk berfikir secara individu untuk negara.
"Saya mahu berkhidmat secara bebas untuk negara dan menentukan yang terbaik untuk rakyat tanpa sebarang unsur rasuah, kroni dan halangan hanya kerana parti dan janji pilihan raya," katanya kepada mStar Online ketika hadir membuang undi di Sekolah Kebangsaan Ulu Piul, dekat sini, Ahad.
Kamilia, bekas naib ketua Pergerakan Wanita Umno tiba bersama enam anaknya dan beberapa penyokong kira-kira pukul 9.40 pagi.
Beliau bagaimanapun sedikit kecewa kerana tidak dapat menjadi pengundi pertama.
"Saya rancang mahu jadi pengundi pertama di sini tetapi anak-anak saya semua mahu menemani saya dan akhirnya saya terlepas peluang itu," katanya.
Menurut Kamilia beliau berasa selesa bertanding pada kali ini setelah 30 tahun berpolitik dengan parti.
Jelasnya, keadaannya sekarang membolehkan beliau melihat situasi politik negara dengan lebih terbuka.
"Melalui kempen saya dapat bertemu dengan kumpulan masyarakat yang sebelum ini tidak pernah saya temui.
"Saya dapat bertemu golongan yang menolak fahaman kedua-dua parti (Barisan Nasional dan pembangkang)," katanya.
Mengenai peluangnya untuk menang, beliau berkata ia bergantung kepada pilihan dan kehendak rakyat yang akhirnya ditentukan Allah.
"Saya terima apa sahaja keputusannya kerana ia menunjukkan apa yang dimahukan rakyat," katanya.
Katanya, apa yang pasti beliau akan bertanding dan menjadi pemimpin yang jujur, ikhlas dan berintegriti jika dipilih rakyat dengan memberi fokus kepada perjuangan untuk kaum wanita.
Kamilia berkata beliau melihat apa yang berlaku kepada dirinya sebagai hikmah yang membolehkan beliau sedar dan mempelajari seuatu.
"George Washington pernah berkata dalam negara demokrasi kita tidak boleh terlalu taksub dengan sesuatu parti kerana kalau kita taksub kita tidak akan nampak keburukan parti itu," katanya.
Kamilia berkata belum pasti untuk mendengar keputusan pilihan raya malam ini sama ada melalui televisyen atau saluran lain.
mStar/-

Tiada ulasan: