23 Disember 2009

Pendaftaran Pakatan Rakyat di tangan ROS - Presiden PAS

5 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, apa yang dimaksudkan oleh beliau dalam kenyataannya baru-baru ini adalah Pakatan Rakyat masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia masih dalam proses pertimbangan Pendaftar Pertubuhan atau ROS.

Penjelasan ini diberikan oleh beliau kepada Harakahdaily ekoran kekeliruan yang dibuat oleh media berdasarkan kenyataan beliau sebelum ini.

Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Shamsury Mokhtar berkata, beliau telah diminta menjelaskan perkara ini oleh presiden PAS itu.

"Saya telah dihubungi oleh Tuan Guru Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) pada hari ini dan telah dimaklumkan oleh Tuan Guru bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beliau adalah:

"bahawa penubuhan Parti Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara bersama oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ianya masih dalam proses pertimbangan kelulusan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.

Ustaz Hadi ketika bercakap kepada media selepas Konvensyen Blogger PAS dilaporkan berkata, tidak perlu terburu-buru untuk mendaftarkan Pakatann Rakyat.

Ekoran itu, sebuah akhbar Cina melaporkan kononnya PAS tidak berminat untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat.

Dengan penjelasan ini bermakna, Ustaz Hadi bermaksud, Pakatan masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia terletak di tangan ROS.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pendaftaran Pakatan Rakyat mengambil masa sedikit kerana ia hak ROS.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kami sebagai rakyat yang menyokong pakatan rakyat sangat gembira apabila membaca cadangan pakatan apabila dapat memerintah. Tiba-tiba perisiden Pas membuat kenyataan yang mengelirukan macam manani?