21 Disember 2012

Dua beradik mengaku salah terbabit rompakan bersenjata

7 Safar 1433H. [MOD] - KUANTAN - Seorang bekas peniaga pasar malam bersama abang tirinya dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang pekerja kedai perabot di Taman Datuk Rashid, Jalan Pintasan Kuantan, dekat sini, dua tahun lalu. Tertuduh, Muhammad Norhasri Abdul Wahab, 26, dan abang tirinya, Khaizuan Khairi, 35, dari Kampung Sungai Batu, Panching, dekat sini, kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan tiga sebatan selepas disabitkan bersalah atas satu lagi tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang peniaga wanita di Balok Perdana pada April 2010. Manakala seorang lagi saudara mereka, Muhammad Norhisham Abdul Wahab, 28, yang kini berada dalam tahanan reman setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan samun melibatkan peniaga perabot itu masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya. Hukuman terhadap dua beradik tiri itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Fathiyah Idris, semalam, selepas kedua-dua tertuduh memilih untuk menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk sambung bicara berhubung kes tersebut. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala semua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hisham Abdul Rahim. Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa bertindak merompak mangsa sebelum merampas wang tunai RM1,000. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang 26 April 2010 itu, mereka turut menggunakan pisau bagi tujuan menakutkan mangsa berusia 70 tahun sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Manakala Muhammad Norhisham dikatakan menunggu dalam kereta jenis Proton Saga di luar kedai. Susulan kejadian, ketiga-tiga tertuduh berjaya ditahan polis kira-kira jam 11.15 pagi 9 November 2011 sebelum dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 22 November 2011 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Bagaimanapun, semasa sebutan pertama, Muhammad Norhasri dan Khaizuan yang berdepan dua tuduhan mengikut seksyen sama dibenarkan diikat jamin RM12,000 setiap seorang manakala Muhammad Norhisham ditawarkan jaminan RM6,000, bagaimanapun semua mereka gagal membayar jumlah jaminan tersebut. Dalam prosiding sama semalam, mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan melibatkan Muhammad Norhisham dalam mahkamah yang sama. Sinar Harian

Tiada ulasan: