21 Disember 2012

Gaji minima: Taska dan tadika swasta bakal ditutup

7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU: Sejumlah 117 buah taska berdaftar dan hampir 200 buah tadika swasta di seluruh negeri Terengganu bakal ditutup jika dasar gaji minima RM900 sebulan untuk pekerjanya dilaksanakan mulai Januari 2013. Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu, Noraini Mustafa berkata, seramai 80 orang pengusaha Taska dan pengusaha Taska negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara mendesak pengecualian gaji minima. “Pada hari ini, 20 Disember 2012 bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu bersama 80 orang pengusaha Taska dan pengusaha Tadika swasta negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan permintaan kami. “Semua pengusaha taska dan pengusaha tadika bersetuju untuk mendesak pengecualian gaji minima kepada kakitangan taska dan tadika swasta, kerana jika tidak kami terpaksa menutup taska dan tadika kerana tidak mampu membayar gaji pekerja dengan pendapatan yang kami ada, kerana kami tertakluk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan nisbah kanak-kanak terlalu sedikit,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membaca resolusi yang dipersetujui bersama pada Majlis Perbincangan Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu di Dewan Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, dekat sini, 20 Disember lalu. Menurutnya, peraturan tersebut akan dikuatkuasakan pada Januari 2013 kepada semua pekerja sektor swasta termasuk pengusaha taska dan tadika di seluruh negara. Pengusaha Taska Syaz, Hajah Wan Azihah Wan Isa, 47, dari Kuala Terengganu melahirkan rasa kesal, kecewa serta terkilan dengan keputusan kerajaan melaksanakan gaji minima RM900 sebulan. Ini kerana, katanya peraturan baru gaji minima tersebut membebankan ibubapa serta menyulitkan pengurusan pengusaha taska dan tadika swasta di seluruh negara. Menurutnya, jika tidak dikecualikan semua pengusaha taska dan tadika swata di negeri ini akan ditutup operasi pada tahun depan. “Saya usahakan taska ini selama 25 tahun lalu. Saya rasa kesal, kecewa dan terkilan dengan peraturan baru gaji minima RM900 sebulan yang ditetapkan oleh kerajaan. “Sebab majoriti keluarga yang hantar anak di Taska dan Tadika kita ini bukan di kalangan orang kaya. Keluarga yang hantar pula bekerja berpendapatan sederhana. Andainya, kita (pengusaha) naik (harga) yuran. Ramai di kalangan ibubapa pula yang tidak mampu hendak bayar yuran dua kali ganda. “Kita (pengusaha) tidak mampu untuk menaikkan yuran memandangkan satu faktornya, kita terpaksa bersaing dengan Taska Permata yang ditaja oleh kerajaan sendiri,” jelasnya kepada Harakah. Beliau yang mempunyai enam buah cawangan melibatkan hampir 1000 orang ibubapa turut membayangkan akan ditutup jika kerajaan tidak bertolak ansur dalam isu gaji minima tersebut. Manakala, rakannya Puan Wan Badariah Wan Abdullah, 50, dari Taska Sri Nurain, Kampung Gong Pauh Kemaman menyifatkan peraturan baru gaji minima tersebut mengganggu periuk nasi pengusaha taska dan tadika swasta di negeri ini. Beliau merayu agar pihak kerajaan melalui kementerian berkenaan mengkaji semula peraturan mengenakan gaji minima serta dikecualikan kepada pengusaha taska. “Saya dari Taska Sri Nurain, Kampung Gong Pauh Kemaman. Berpengalaman hampir 20 tahun buka Taska ini. Masalah ini sangat mengganggu periuk nasi kami (pengusaha). “Kami buat perusahaan ini semata-mata perkhidmatan dan bukan untuk kaut untung sangat. Kami sangat-sangat memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan (kementerian) untuk mempertimbangkan gaji minima ini. Jika boleh dikecualikan terus dari melibatkan pekerja-pekerja di Taska,” ujarnya. Beliau mempunyai seramai lima orang pekerja dengan 20 orang kanak-kanak sudah pasti tidak mampu menawarkan gaji minima RM900 sebulan kepada pekerjanya. Sehubungan itu, katanya berlaku pelanggaran syarat serta penyalahgunaan peraturan dasar sebenar penubuhan Taska Permata oleh pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sendiri. “Taska Permata yang dikendalikan oleh pihak YPK sendiri tidak mengikuti dasar sebenar Taska Permata. Mereka (Permata) sepatutnya, tidak boleh mengambil anak-anak yang ibubapa mereka berpendapatan lebih RM3,000 sebulan dalam syaratnya. “Saya sendiri alami masalah ada di kalangan ibubapa yang berpendapatan lebih RM3,000 dan pernah menghantar anak-anak mereka ke Taska saya, kini mereka hantar di Taska Permata. “Ini suatu bentuk penganiayaan kepada pengusaha-pengusaha taska swasta serta penyalahgunaan dari segi akta pelaksanaan Taska Permata itu sendiri,” tegasnya. Wan Badariah berharap agar masalah tersebut dipandang dengan teliti oleh pihak berkenaan supaya penyalahgunaan itu tidak berlaku serta Taska-taska Swasta juga mendapat pembelaannya. Ketika ditanya kenapa baru sekarang perkara tersebut dibangkitkan beliau menjelaskan bahawa, sebelum ini pengusaha taska mendapat maklumat lisan dari sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi berkaitan peraturan itu dikecualikan kepada pengusaha taska. “Sebelum ini, kami dimaklumkan secara lisan dari sumber JKM dan lain-lain yang berkait bahawa pengusaha taska swasta dikecualikan pelaksanaan gaji minima itu. Tapi, kami (pengusaha) tidak diberi surat ‘hitam-putih’ tentang pengecualian tersebut. “Sekarang baru kami diberitahu tidak ada pengecualian. Saya pernah menghantar email kepada Persatuan Pengasuh Malaysia tetapi tidak ada sebarang maklum balas,” jelasnya dengan emosi. Menurutnya, jika semua pengusaha taska dan tadika swasta tutup di seluruh negeri akan menyusahkan ribuan ibubapa yang bekerja. Harakah Daily

Tiada ulasan: