21 Disember 2012

Tanda X di belakang mangsa

7 Safar 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan lehernya dikelar dan beberapa bahagian badan ditoreh oleh penjenayah dalam kejadian di sebuah tempat simpanan barangan kuil Hindu, di Lebuh Penang, kelmarin. 

Mangsa, Muthu Palaniappan, 82, seorang kerani yang juga penjaga barang berharga milik sebuah kuil ditemui anaknya yang melawat ayahnya di premis berkenaan. Difahamkan, suspek cuba mengambil beberapa patung yang bersalut emas dan berlian bernilai jutaan ringgit yang disimpan. 

Mulut mangsa juga disumbat dengan kain bagi mengelakkan mangsa menjerit dan membuatkan dia lemas. 

Menurut sumber, suspek juga membuat tanda pangkah di belakang badan mangsa dengan darah. “Hasil siasatan awal, polis percaya ada kemungkinan suspek yang mengenali mangsa dan dia juga mungkin sudah merancang untuk melakukan perkara ini. 

 “Bagaimanapun, siasatan polis akan menjurus kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran premis berkenaan,” katanya. 

 Siasatan awal kejadian dipercayai bermotifkan rompakan, memandangkan premis tersebut menempatkan berhala, serta barangan kemas milik kuil yang bernilai tinggi. 

 Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, kejadian itu disedari anak mangsa, kira-kira jam 5 petang, ketika datang untuk menemui mangsa. 

 “Siasatan awal, polis mendapati suspek dipercayai menggunakan pintu belakang untuk memasuki premis tersebut. “Ini berdasarkan kesan umpil pada dua pintu besi di belakang, sebelum membunuh mangsa dan melarikan barang berharga. 

Polis turut menggunakan anjing pengesan untuk mengesan bukti kes,” katanya. Beliau berkata polis masih memburu suspek dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dirancang dan dilakukan lebih daripada seorang suspek. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

Sinar Harian

Tiada ulasan: