18 Disember 2012

Keluarga mangsa ISA terus dicengkam sengsara

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Di sebalik kenyataan kerajaan mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hakikatnya masih ada mangsa yang menanggung sengsara kerana akta yang zalim itu.

Kesengsaraan itu dirasai oleh 27 keluarga, membabitkan 27 tahanan ISA yang masih meringkuk di Kem Tahanan Perlindungan (Kemta), Kamunting.

10 di antara mereka merupakan warganegara Malaysia, manakala selebihnya dari negara luar seperti Sri Lanka, Bangladesh, India dan Iraq.

Mungkin ramai di kalangan rakyat Malaysia berasakan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan ISA dimansuhkan, maka semua tahanannya dibebaskan.

Hakikatnya, ramai yang tidak tahu bahawa masih ada tahanan akta itu yang masih terkurung dan tertakluk dengan undang-undang baru, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang menggantikan ISA.

GMI, peguam ke Tawau

Episod kesengsaraan mangsa ISA ini dirasai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang masih komited dalam usaha membebaskan semua tahanan ISA yang masih 'terperangkap'.

Pada 16 nov lalu, mereka menziarahi lapan keluarga tahanan ISA di Tawau, Sabah bagi mendapatkan maklumat dan memberikan khidmat nasihat kepada mereka.

Selain itu, kepayahan dan kesengsaraan mereka yang ditinggalkan ketua keluarga sudah tentu juga menjadi agenda utama GMI.

Diketuai Aliza Jaffar, yang juga isteri bekas tahanan ISA, Saari Sungib (kini Adun Hulu Kelang), rombongan seramai tujuh orang, termasuk dua peguam meluangkan masa tiga hari dan dua malam untuk menyantuni keluarga tahanan ISA.

'Hilang' sumber pendapatan

Lapan keluarga yang ditemui, kebanyakannya kehilangan tempat bergantung, lebih-lebih lagi bagi isteri-isteri yang tidak bekerja.

Sementelah suami kesayangan mereka ditahan akta kejam itu, anak-anak yang masih kecil turut menjadi mangsa apabila ada di antara mereka yang tidak pernah bersua muka dengan bapa mereka.

Asmira Amil, isteri kepada tahanan Adzmi Pindaton, yang sedang hamil lima bulan ketika suaminya ditahan Nov 2011 lalu, masih belum sempat membawa bayinya untuk ditunjukkan kepada suaminya.

Malah, kebanyakan mereka hanya dapat bertemu dengan tahanan hanya di awal penahanan, ekoran masalah kewangan yang begitu mendesak.

Selain keluarga Adzmi, GMI juga berpeluang menemui isteri kepada tahanan, Bakar Baba; isteri tahanan Darto Bandu; isteri tahanan Nazri Dollah; isteri tahanan Mohd Adnan Umar; nenek kepada isteri tahanan Muadz Hakim, kakak tahanan Mohd Sarail Osman; dan ibu tahanan Shamsuddin Alik.

Dua dibebaskan awal

Bagaimanapun, Sarail dan Shamsuddin telah dibebaskan sehari selepas lawatan GMI ke Tawau - yng difahamkan mereka dibebaskan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan.

Menyedari ramai di kalangan ahli keluarga yang tidak tahu berbuat apa-apa sementara menanti tarikh pembebasan orang tersayang, GMI terpanggil untuk memberi khidmat nasihat peguam.

Diugut tidak bertemu peguam

Biarpun GMI dimaklumkan ada keluarga yang diugut polis agar tidak berhubung dengan peguam, mereka diberi penjelasan yang jelas berkenaan hak mereka.

Majlis penerangan mengenai hak-hak mereka disampaikan secara jelas oleh peguam Murnie Hidayah Anuar dan Farhana Abdul Halim dari Lawyers For Liberty (LFL).

Penubuhan GMI Tawau


Melihat kepada situasi getir keluarga tahanan di Tawau, GMI akhirnya menubuhkan GMI Tawau sebagai langkah menjaga kebajikan mereka dengan lebih berkesan.

Bekerjasama dengn PAS Kawasan Tawau, GMI Tawau akan bertindak sebagai penghubung dan pemudahcara bagi segala gerak kerja membantu keluarga tahanan di Tawau.

Sasar RM50,000 dana untuk keluarga tahanan
Sehubungan itu, satu inisiatif diambil untuk melancarkan kempen kutipan dana bagi membantu keluarga tahanan dengan GMI mensasarkan sebanyak RM50,000.

Bagi anda yang prihatin dengan keperitan dan kesengsaraan tahanan dan keluarga mereka, segala sumbangan yang ingin anda berikan boleh dilakukan melalui akaun Maybank 162209939776 atas nama Nashita Md Nor (Bendahari GMI).

Ternyata, mansuhnya ISA bergantinya SOSMA, lukanya masih sama, malah lebih parah lagi menghiris tahanan dan keluarga mereka.

GMI mengharapkan dengan sumbangan dana yang diberikan, dapat membantu meringankan beban mereka, di samping membantu gerak kerja GMI untuk meneruskan kempen menentang akta zalim ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: