18 Disember 2012

Bolehkah wang bayaran saman AES dikembalikan?

4 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mendesak supaya semua saman Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) dimansuhkan serta merta berhubung masalah teknikal yang dialami oleh pihak mahkamah hingga menyebabkan sebahagian daripada keseluruhan saman AES ditarik balik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Demikian dinyatakan Penyelaras SAMM Kebangsaan, Yaser Sheikh Abd Rahman dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada laman sosial FB Zulhazmi Shariff yang merupakan peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase), saman AES di semua mahkamah termasuklah di Jalan Duta, Putrajaya, Kajang dan Sepang telah ditarik balik ekoran kesilapan teknikal.

Zulhazmi yang berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini ketika sebutan kes turut menyatakan bahawa dokumen mengenai saman AES yang sepatutnya diserahkan oleh JPJ kepada mahkamah didapati masih tidak lengkap dan minta ditangguhkan.

Yaser berkata, SAMM memandang serius permasalahan AES yang menyusahkan rakyat dan merugikan semua pihak apabila berlaku gejala masalah teknikal.

Dilaporkan sebanyak sepuluh ribu mangsa saman AES telah membuat pembayaran.

“Apakah nasib mereka yang telah membayar saman AES sebelum ini?

“Bolehkah wang mereka dikembalikan tanpa menyusahkan mereka untuk hadir ke kaunter pembayaran seperti sebelum ini?” tanya beliau.

Katanya, SAMM mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kase dan mangsa saman yang berani bersama Kase melawan regim penindas yang bertekad melaksanakan pemasangan 831 kamera AES di seluruh negara.

Dengan keputusan seperti hari ini, katanya SAMM menyeru orang ramai agar tidak membayar saman tetapi bangkit dengan berani menuntut keadilan bersama peguam Kase.

“Apa yang boleh dilihat hari ini ialah, regim pemerintah tidak sedia membawa kes AES ke mahkamah kerana sememangnya perlaksanaan sistem AES punyai seribu satu kelemahan.

“Bagi SAMM, membayar saman AES adalah satu kerugian. Sayangilah wang anda, jangan bayar saman AES!” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: