18 Disember 2012

Jalan RM14.9 juta: SPRM digesa siasat Musa Aman

4 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah didesak menyiasat Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berhubung sebatang jalan berharga RM14.9 juta.

Mohd Faizal Padlee yang mewakili Jingga 13 membuat laporan kepada SPRM Cawangan Sabah di sini, hari ini berhubung perkara itu. Turut serta ialah Kordinator Jingga 13, Fariz Musa.

Beliau juga mendesak SPRM agar turut menyiasat Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Pengarah JKR Negeri Sabah dan syarikat yang mendapat kontrak oleh JKR berhubung pembinaan jalan itu.

Berikut laporan Mohd Faizal kepada SPRM Cawangan Sabah.

Saya Mohd. Faizal Padlee, No Kad Pengenalan 860209-12-5569 mewakili JINGGA 13 Sabah tampil untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah agar siasatan secara menyeluruh di buat terhadap jalan satu lorong berjarak 0.9 km berharga RM14.9 juta yang dianggarkan jalan paling mahal di Malaysia dan mungkin di dunia.

Jalan raya yang menghubungkan bangunan Yayasan Sabah yang dinamakan juga Menara Tun Mustapha ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah jaraknya hanya 0.9 km. Malah jalan ini dibina bagi menghubung pejabat Ketua Menteri Sabah yang terletak di menara itu ke bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah yang hanya berjarak 0.9 km.

Difahamkan bahawa Jabatan Kerja Raya negeri Sabah mengumumkan bahawa kos jalan tersebut adalah RM14.9 juta. Harga yang cukup luar biasa sedangkan menurut kajian, kos sebatang jalan adalah kira-kira RM1 juta sahaja paling tinggi. Itupun kalau melibatkan laluan yang lebih banyak dan mempunyai jambatan dan sebagainya. Sedangkan  JINGGA 13 Sabah  mendapati jalan antara bangunan Yayasan Sabah dengan Dun Sabah ini hanya satu lorong sahaja iaitu satu lorong pergi dan satu lorong balik. Di tengah-tengah jalan ini pula bukannya ada sebarang pembahagi jalan antara kedua-dua laluan pergi balik itu.

YB Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden dan merangkap Ahli Parlimen Gombak telah mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat sebelum ini berkaitan isu jalan tersebut,  namun malangnya tidak ada sebarang penjelasan diberikan seolah-olah ada sesuatu telah disembunyikan.

JINGGA 13 meminta agar SPRM melakukan siasatan dan pendakwaan berkaitan Skandal Jalan Termahal tersebut terhadap:

1.     Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Musa Aman
2.     Y.B Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur
3.     Pengarah JKR Negeri Sabah
4.    Syarikat yang mendapat kontrak oleh JKR

JINGGA 13 juga mendesak agar siasatan dibuat terhadap perolehan tender projek jalan tersebut yang mungkin wujud unsur-unsur rasuah dan penyelewengan dana awam yang melibatkan kos luar biasa pembinaan jalan tersebut berharga RM 14.9 juta. Ketelusan, keadilan dan integriti SPRM sangat penting dalam menyiasat skandal pembinaan jalan termahal di Malaysia dan di dunia tersebut bagi mengheret penjenayah ke muka pengadilan.

harakah/-

Tiada ulasan: