01 November 2012

Polis wajar benarkan Himpunan Kebangkitan Rakyat

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihak polis sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan kepada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan Sabtu ini.

Katanya, alasan yang dibangkitkan berhubung pengisian borang permohonan tidak lengkap adalah perkara kecil dan beliau percaya pihak penganjur akan mengambil maklum perkara itu.

"Apa yang penting adalah tempat yang telah ditetapkan untuk perhimpunan tersebut telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan undang-undang dari sudut keselamatan.

"Isu pengisian borang yang tidak mengikuti peraturan adalah perkara yang kecil," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly semalam bahawa  himpunan yang dijadualkan Sabtu ini itu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan.

Saiful Azly berkata sehingga petang semalam, tiada sebarang permit di bawah akta undang-undang tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur.

Ini kerana borang permohonan dari penganjur tidak dapat diproses ekoran maklumat permohonan yang tidak lengkap seperti yang dikehendaki undang-undang.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihak polis wajar membenarkan himpunan itu kerana ianya peluang untuk rakyat mendengar amanat daripada pemimpin mereka.

"Perhimpunan tersebut tetap diteruskan dan ia merupakan perhimpunan terakhir untuk rakyat dan pengundi mendengar amanat yang akan disampaikan oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat," sambung beliau lagi.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: