28 Februari 2013

Debu tebal jejaskan kesihatan

Debu tebal jejaskan kesihatan17 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Beginilah suasana di jalan Trong yang dipenuhi debu apabila lori-lori mengangkut tanah melalui kawasan berkenaan.
 
TAIPING - Debu tebal akibat kerja-kerja mengorek tanah liat oleh sebuah syarikat tempatan di Kampung Salak, Trong semakin menjejaskan kehidupan lebih 1,000 penduduk di kawasan itu sejak setahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, permukaan bahu jalan sepanjang 100 meter di kawasan itu yang menjadi laluan utama pengguna sememangnya dipenuhi tanah liat kering selain mengeluarkan debu tebal.

Keadaan itu juga mendedahkan pengguna terutama pelajar sekolah dan penduduk sekitar dengan habuk yang bukan saja menyebabkan kekotoran tetapi turut menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.

Peniaga warung yang mahu dikenali sebagai Azim, 35, berkata, debu yang berterbangan di bahu jalan bukan saja menyebabkan pencemaran alam sekitar, tetapi boleh menjejaskan kualiti udara sekali gus mengundang kepada jangkitan penyakit.

“Pendapatan saya semakin berkurangan akibat masalah debu yang berlarutan hampir setahun.

“Lihatlah di atas meja dan kerusi, jika debu setebal ini, bagaimana kami nak meniaga? Sudah tentu tiada pelanggan yang datang sekali gus menjejaskan periuk nasi kami,” katanya.

Azim turut mengakui kediamannya dan penduduk sekitar dicemari dengan debu yang berterbangan masuk ke dalam rumah dan mengotorkan persekitaran kediaman masing-masing.

“Penduduk bimbang jika keadaan itu dibiarkan berterusan akan menimbulkan pelbagai masalah lain," katanya.

Katanya, apabila hujan, jalan sering becak dan licin akibat daripada serpihan tanah liat di atas jalan utama.

"Keadaan ini akan menyebabkan bahaya kepada pemandu jalan raya.

“Justeru, penduduk di sini meminta pihak berwajib memantau keadaan ini kerana jika dibiarkan berterusan pelbagai masalah dan perkara buruk akan berlaku,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: