28 Februari 2013

Kera serang kanak-kanak

17 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Kera serang kanak-kanak
Mohamad Shahrul Amin menerima tujuh jahitan di kepala, selain calar di belakang badan
HULU SELANGOR - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun terpaksa menerima tujuh jahitan di kepala selepas digigit kera yang menyerangnya di dalam rumah.

Mangsa, Mohamad Shahrul Amin Afandi turut mengalami kesan calar di beberapa bahagian belakang badan akibat serangan itu yang berlaku kira-kira jam 7.15 petang, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Melayu Rasa, Redzuan Mohd Isa berkata, kanak-kanak malang itu dikatakan sedang bermain dengan adik beradiknya yang lain di ruang tamu rumah sebelum didatangi seekor kera yang menyerangnya secara tiba-tiba.

“Kejadian itu hanya disedari bapanya setelah mendengar jeritan kanak-kanak tersebut.

“Melihat kecederaan di kepala dan belakang badan, kanak-kanak itu terus dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Redzuan berkata, kanak-kanak terbabit menerima tujuh jahitan di kepala dan dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Katanya, kera yang menyerang mangsa tidak terlepas kerana dikurung di dalam rumah sementara menunggu pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kuala Kubu Bharu dan Jabatan Perhilitan tiba.

“Perhilitan bersama anggota JPAM berjaya menangkap kera berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, gangguan kera di kawasan perumahan itu semakin menjadi-jadi kerana pembiakannya tidak terkawal.

Bagaimanapun katanya, tindakan sewajarnya akan diambil pihak berkuasa bagi membendung kehadiran kera di kawasan tersebut, seterusnya mengelak kejadian sama berulang.

sinar/-

Tiada ulasan: