05 Januari 2012

Kenyataan Ismail Mina bersifat peribadi

11 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad adalah hanya bersifat peribadi.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily memberitahu sepanjang beliau bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun melalui forum-forum yang disertai oleh pengamal agama lain, Anwar tidak pernah menyamakan agama Islam dengan agama lain.

"Itu hanya kenyataan peribadi Ismail dan sepanjang saya bersama Anwar mahupun ketika beliau di dalam apa-apa forum tidak pernah beliau nyatakan Islam itu sama dengan agama lain.

"Pendirian Anwar tegas dan tidak pernah berubah, beliau tahu apa yang sepatutnya beliau lakukan dan tidak sesekali beliau sanggup mengadaikan Islam demi kepentingan agenda politik beliau," jelasnya.

Tambahnya lagi sepatutnya isu-isu sedemikian dibincangkan di dalam satu forum yang dihadiri oleh mereka yang pakar di dalam bidang agama dan bukannya dibicarakan secara terbuka seperti apa yang dilakukan oleh AJK Muafakat itu.

"Ia sepatutnya dibicarakan di dalam satu forum khusus yang dihadiri oleh mereka yang berpengalaman dalam bidang agama.

"Tidak semua faham dengan apa yang di maksudkan itu dan saya takut ia akan menimbul kekeliruan kepada umat Islam hanya disebabkan oleh kepentingan agenda politik pihak tertentu," sambung beliau lagi.

Sebelum itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ismail melalui media arus perdana memberitahu beliau meninggalkan Anwar adalah kerana mempercayai Ketua Pembangkang itu cenderung kepada fahaman pluralisme agama.

Pluralisme agama adalah satu fahaman yang menyamaratakan semua agama yang mana penganutnya mempercayai semua agama adalah benar.

Harakah Daily

Tiada ulasan: