13 Julai 2009

Tahniah kerana tiada kekecohan kali ini

Oleh Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Sebelum penamaan calon di Pilihan raya kecil DUN Manik Urai, anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak bertindak di luar batasan dan sebaliknya mereka perlu mengutamakan perpaduan dan bersikap rasional dan profesional. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata walaupun PAS mengganggap Umno dan BN sebagai musuh utama, namun Umno dan BN tetap mengajak kepada perpaduan dan semangat 1Malaysia.

Kesan nasihat itu, kini suasana berkempen berjayan dengan baik tanpa ada masalah yang boleh dikaitkan dengan keganasan dan sebagainya. Hal ini diakui oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin sewaktu berada di Manik Urai. Tahniah diucapkan kepada Pemimpin Umno dan BN dan anggota masing-masing kerana berjaya merealisasikan demokrasi.

Persoalannya bolehkah keadaan ini dikekalkan sampai bila-bila dalam mana-mana pilihan raya akan datang. Adakah semua ini boleh direalisasikan hanya setelah pemimpin membuat arahan, baru didengari oleh ahli semua. Bolehkah ahli Umno menilai sendiri mana yang baik mana yang baik walaupun tanpa mendapat arahan pemimpin?

Tetapi pada masa yang sama, kita tidak pula dengar arahan yang seserius itu untuk ahli PAS. Memang ada juga arahan seumpama itu setiap kali berlaku pilihan raya, namun arahan itu sekadar mengulangi tradisi sebelumnya. Di sini timbul persoalan akan anggota PAS tidak membuat kekacauan pada hari penamaan calon dan kempen kerana menghormati arahan pemimpin BN atau arahan pemimpin PAS?

Logiknya, tidak mungkin mereka mendengar arahan pemimpin BN. Kalau hendak dikatakan mereka dengar arahan pemimpin PAS, kenapa pada kali ini boleh sedangkan pada pilihan raya sebelumnya tidak boleh patuh? Inilah yang perlu dianalisis.

Ya, kalau benarlah kekecohan dahulu itu dicetuskan oleh PAS, tentu keadaan itu menunjukkan mereka tidak patuh kepada pemimpin mereka. Tetapi kalau mereka menafikannya, sebaliknya mengaku mematuh arahan pemimpin, ada beberapa kemungkinan berikut:

1. Selama ini pemimpin BN tidak pernah memberi arahan dan nasihat seperti itu, atau nasihat juga tetapi seperti cakap-cakap terbuang.
2. Ahli Umno yang membuat kecoh dengan menggunakan orang lain untuk mengelirukan anggota polis.
3. Ahli Umno yang membuat provokasi untuk menimbulkan kemarahan ahli PAS.

Analisis ini sekadar membuka fikiran temanku dan pengunjung Fikrah Islamiah. Saya bukan menuduh tetapi kalau benar begitu, tahniah sekali lagi kepada pemimpin BN. Semoga keinsafan itu boleh dikekalkan pada masa hadapan.

Bagaimanapun kalau semua itu salah, diharapkan kejayaan kali ini dapat diambil iktibar oleh semua pihak bahawa politik sepatutnya bukan mencari musuh tetapi untuk merapatkan jurang. Yang salah pada kerajaan di tegur oleh pembangkang demi kebaikan negara dan rakyat.

Tiada ulasan: