02 Mac 2010

Bekas penolong pengarang Urusetia meninggal

15 Rabiul Awwal 1431H

TANAH MERAH, 28 Feb: Bekas penolong pengarang Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Wajdi Mayusoh, 32 meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Beliau yang juga stringer Harakah meninggal dunia di Hospital Kuala Krai kira-kira jam 7.40 pagi setelah terbabit dalam kemalangan di Bukit Ah Kim, Kampung Peria, Kuala Krai.

Ketika itu beliau bersama dua lagi rakan dalam perjalanan ke tempat mengajar di Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop, Lojing, Gua Musang.

Seorang lagi rakannya yang juga guru difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut bapa mertuanya, Che Jaafar Che Omar, ketika kejadian kereta dipandu rakan Wajdi mengelakkan daripada sebuah kereta di hadapan yang membrek mengejut.

“Kereta dinaiki Wajdi terbabas dan terlanggar sebuah bas dalam perjalanan dari arah bertentangan,” katanya ketika ditemui di rumah ayah Wajdi di Kampung Chawas, dekat sini.

Jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Kuala Krai selepas bedah siasat kira-kira jam 12.15 pagi.

Jam 3 petang jenazahnya disembahyang, kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chawas.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Cik Siti Nor @ Aishah Che Jaafar, 32 juga seorang penduduk dan anak sulung, Md Hakimi, 2 tahun.

Wajdi mulai mengajar di sekolah berkenaan pada 3 Januari lalu selepas menamatkan latihan penguruan lepasan ijazah.

“Beliau turun dari rumah jam 3.30 pagi bersama dua lagi guru untuk ke tempat mengajar di Gua Musang,” kata Che Jaafar.

Ayah Wajdi, Mayusoh Matelong, 63 menerima takdir anak sulungnya daripada empat adik beradik meninggal dunia dalam keadaan begitu tragedi.

Rakan-rakannya terkejut ketika menerima berita kematian tersebut. Turut menziarahi jenazahnya pegawai dan kakitangan Urusetia Penerangan, Harakah dan anggota keluarganya.

Harakahdaily.net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam,sedih baca berita ini,inilah pengalaman guru yg mengajar di hulu kelantan.Pengalaman ini pernah dirasa oleh sya 2tahun lepas,dimana suami ditukarkan kehulu kerana naik dg32,nak bawa keluarga sush krn anak semua bersekolah di kota bharu,saya berendam airmata menanggung kesusahan seorang diri tambahan lagi sya baru kematian anak semasa melahirkannya krn tiada tunggak keluarga,dismping tiada keluarga,paling sedih di satu pagi ,terima panggilan suami kemalangan terlanggar babi hutan,alhamdulillah sdikit kecederaan wpun kereta teruk.Rasa terkilan JPN kelantan menghantar kehulu secara terpilih dan ada yg boleh batal memo tukar kerana politik umnom .hanya Allah yg mengetahui perasaan org yg teraniaya......