13 Jun 2010

Langsung Muktamar: Sambungan perbahasan ucapan presiden

29 Jamadil Akhir 1431H.
Harakahdaily

11.25 pagi: Wan Kharizal Wan Hazim, perwakilan Perlis berkata PAS perlu mempamerkan kepimpinan yang berakhlak dan organisasi yang utuh supaya dapat memberi contoh kepada parti lain khususnya rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ujarnya, PAS perlu memberi tumpuan kepada akhlak dalam berjemaah termasuk wala' dengan setiap keputusan pimpinan.

11.05 pagi: Perwakilan Pahang, Hasnuddin Salim berkata tema muktamar iaitu 'Islam Adil untuk Semua' mesti dijelaskan kepada seluruh ahli agar ianya tidak menjadi slogan semata-mata.

Beliau mencadangkan PAS mewujudkan satu gagasan untuk menyelaraskan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang semakin banyak di negara ini.

Ini kerana PAS boleh mengambil peluang melalui NGO yang ada untuk mendekati masyarakat menerusi pelbagai isu yang berlaku.

Selain itu beliau meminta PAS memberi lebih perhatian kepada kawasan Felda yang majoritinya adalah Melayu bagi meraih sokongan mereka.

10.35 pagi: Sidang muktamar berhenti rehat sehingga jam 10.50 pagi.

10.13 pagi: Perwakilan Pulau Pinang, Rosidi Hussin dalam di bawah pemerintahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng PAS negeri itu diberi peranan yang sangat besar dalam membantu pentadbiran negeri.

Sehubungan itu PAS Pulau Pinang menuntut lebih banyak kerusi PAS diberikan kepada negeri itu dengan melihat kepada perkembangan sokongan orang bukan Islam di negeri itu.

"Kami mencadangkan kepada pimpinan pusat supaya PAS Pulau Pinang boleh bertanding lebih banyak kerusi lagi", katanya.

Di samping itu, beliau mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli PAS tidak meninggalkan program-program tarbiyah bagi memastikan kekuatan parti terus dijana.

Turut disentuh beliau mengenai media arus perdana yang sering mengambil kesempatan di atas isu yang berlaku.

"Kita minta PAS berhati-hati dengan media yang dilihat cuba memporak-perandakan parti", katanya.

9.50 pagi: Perwakilan dari DHPP K. Deepakaran melahirkan kesyukuran kerana buat pertama kali berpeluang bersama-sama dalam muktamar PAS kali ini.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS yang bertungkus lumus memastikan kewujudan DHPP.

Beliau berkata PAS perlu mengahadapi cabaran politik pelbagai kaum yang besar, namun PAS berjaya membuktikan kejayaannya menyuburkan parti.

"Kami DHPP berjanji akan terus menyumbang sesuatu kepada perjuangan PAS dan yakin ianya akan memberikan hasil yang lumayan", katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen DHPP untuk terus menyumbang kepada perjuangan PAS.

Selain itu, beliau meminta keputusan untuk melantik jawatan-jawatan penting di negeri-negeri Pakatan Rakyat turut melibatkan DHPP.

9.30 pagi: Perbahasan oleh perwakilan Johor menyokong penuh penubuhan DHPP.

Perwakilannya berkata, Johor tidak ketinggalan dalam menarik sokongan pengundi bukan melayu.

PAS Johor katanya mendesak PAS Pusat agar memberikan perhatian yang serius terhadap segala perkara yang berkait dengan DHPP agar dewan yang baru ditubuhkan itu tidak disia-siakan.

9.15 pagi: Perbahasan oleh perwakilan Melaka, Adli Zahari.

Beliau berkata pimpinan PAS mesti tegas menyanggah pemikiran Umno Barisan Nasional yang cuba diterapkan kepada masyarakat serta lebih terkehadapan dalam membawa isu-isu nasional yang melibatkan rakyat negara ini.

Beliau turut menyentuh mengenai bahan bacaan parti yang dilihat terlalu berat dan tidak mesra pembaca. Beliau mencadangkan akhbar Siasah meringankan berita yang disiarkan agar lebih mudah difahami para pembaca.

"Rakayat Malaysia memang kurang gemar membaca, namun kita tidak boleh meninggalkan golongan ini sebaliknya perlu menyediakan bahan bacaan yang ringan untuk menarik minat mereka", katanya.

9.02 pagi: Perbahasan ucapan presiden PAS hari ini dimulai oleh perwakilan Negeri Sembilan, Darus Mansur.

Beliau meminta DHPP diberikan pendidikan khas untuk memberi kefahaman tentang dasar dan perjuangan PAS.

"Kita yakin jika PAS bijak menggunakan DHPP tidak mustahil satu hari nanti MCA dan MIC akan duduk di bawah PAS", katanya.

Bagi mencapai hasarat itu katanya, ketiga-tiga dewan iaitu Dewan Ulama', Pemuda dan Muslimat harus diperkasakan dan memastikan ketiga-tiga dewan ini membawa agenda parti.

Tiada ulasan: