05 Januari 2011

Angkat Sumpah Rahsia Khusrin Selepas Sidang DUN Selesai: MB

01 Safar 1432H.

SHAH ALAM: Majlis angkat sumpah simpan rahsia Datuk Mohd Khusrin Munawi selaku Setiausaha Kerajaan Negeri hanya akan diadakan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor selesai.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat memohon sidang itu diadakan telah dihantar kepada Speaker DUN Teng Chang Khim hari ini.

"Sidang itu bertujuan meminda undang-undang tubuh untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif negeri, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang, kepada Sultan dan Menteri Besar.

"Kita dapati enakmen yang ada sekarang tidak memberikan kuasa jelas kepada Tuanku Sultan dan seterusnya Menteri Besar dalam atur cara pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Penasihat Undang-undang," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pelantikan Mohd Khusrin diumum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lepas dan berkuatkuasa pada 1 Januari lalu dengan membelakangi Menteri Besar Selangor.

Sedangkan Kerajaan negeri melalui satu panel yang dilantik juga mempunyai cadangan calonnya sendiri untuk dipilih menjadi SUK.

Beliau dijadual mengangkat sumpah taat setiap kepada Sultan Selangor esok.

Bagaimanapun mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor hanya boleh mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan itu, Abdul Khalid berkata pembentangan akan dibantu Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah Be T.Loth Khan, peguam Datuk Param Cumaraswamy dan pensyarah undang-undang Prof Datuk Abdul Aziz Bari.

Cadangan pindaan juga akan dipersembah kepada Sultan Selangor, katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan negeri gagal mendapat majoriti dua pertiga bagi meluluskan pindaan itu, Abdul Khalid berkata: "Kita tunggu dan lihat."

DUN Selangor terdiri daripada 56 kerusi yang mana 14 daripadanya milik Parti Keadilan Rakyat, 13 diwakili DAP, lapan wakil PAS, seorang wakil Bebas dan 20 diwakili Barisan Nasional.

Pelantikan Mohd Khusrin menjadi isu kerana pemilihan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dibuat tanpa mendapatkan pandangan Khalid selaku Menteri Besar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kita tunggu apa akan jadi pada barua bn yang mementingkan jawatan walaupun kebolehpercayaan sudah tidak wujud....adun BN mungkin tak akan hadir mereka bercuti ke luar negara pada tarikh dun di buat