16 September 2011

Mansuh ISA: Kerajaan didesak mohon maaf

18 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 15 Sept: Ekoran pengumuman perdana menteri malam ini (tadi) bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub mendesak kerajaan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat yang pernah ditahan dibawah akta zalim itu.

Bercakap kepada Harakahdaily, Salahudin berkata tindakan itu perlu kerana sudah ramai rakyat yang menjadi magsa akta itu sejak dari merdeka lagi.

"Kerajaan mesti minta maaf secara terbuka kepada mereka yang pernah ditahan oleh akta ini semenjak merdeka lagi.

"Sejak dahulu kita menentang kata ini. Sememangnya akta ini tidak relevan lagi," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Beliau mengulas ucapan Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pemansuhan ISA dalam perutusan khas Hari Malaysia yang disiar secara langsung oleh RTM malam ini.

Dalam prutusan khasnya, Najib turut mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurut Najib, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

Dalam pada itu Isteri mangsa bekas tahanan ISA Norlaila Othman dalam reaksinya terhadap pengumuman perdana menteri itu masih meragui "niat baik" kerajaan.

Menurutnya, sukar untuk mempercayai janji kerajaan kerana sudah banyak kali ditipu.

"Kami tidak tahu hendak (kata) alhamdulilah atau bersorak "yahoo" sebab sudah banyak kali kena tipu. Selagi Kem Kamunting tidak ditutup, selagi semua tahanan tidak dibebaskan dan selagi ISA tidak lagi menjadi akta baru kami akan percaya.

"Walaupun ISA dimansuh, dia boleh buat akta baru pada bila-bila masa saja. Kita tidak mahu akhirnya cuma tukar nama sahaja," katanya dipetik Malaysiakini.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh pula masih menuntut penjelasan daripada pengumuman Najib itu.

"Apakah benar ISA dimansuh dan bilakah tempoh akan dimansuh? Kita tentang ISA sebab peruntukan tahanan tanpa bicara. Tetapi jika dibentuk dua lagi undang-undang yang juga mempunyai peruntukan tahan tanpa bicara, kita anggap perjuangan kita belum selesai.

"Betul mansuh dan kita sedikit lega. Tetapi mansuh satu (akta) dan masuk dua (undang-undang baru), sebab itu kita tidak mahu terlalu gembira lagi," katanya.

Tiada ulasan: