14 Februari 2012

Mayat penjual makanan haiwan rentung

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang penjual maka­nan haiwan bukan hanya dibunuh, malah turut dibakar bersama kereta dalam keja­dian berhampiran padang bola Batu Muda Tambahan 3, Kampung Batu Tambahan, awal pagi semalam.

Mangsa hampir 100 peratus terbakar itu dikenal pasti sebagai P Rodney, 30, berasal dari Taman Sri Gombak.

Kejadian itu disedari orang awam yang melalui kawasan tersebut, kira-kira jam 4.15 pagi, selepas melihat ke­reta Proton Wira terbakar.

Insiden tersebut dimaklumkan kepada pengawal keselamatan, Shahruddin Ahmad, 52, sebelum dia menghubungi bomba.

Shahruddin berkata, dia tidak mengetahui terdapat mayat terbakar di dalamnya.

“Saya tidak berani menghampiri kenderaan berke­naan kerana bimbang meletup.

“Selepas api padam, saya diberitahu di dalamnya terdapat mayat yang sudah ha­ngus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan tiba di lokasi, kira-kira jam 4.42 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan penemuan mayat di bahagian hadapan tempat duduk penumpang.

“Siasatan mendapati, ke­reta itu disimbah dengan minyak petrol sebelum dibakar.

“Kita sedang menyiasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke kawasan itu untuk dibakar bersama kereta,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disia­sat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian

Tiada ulasan: