26 Julai 2012

Selangor potong 25% cukai taksiran pangsapuri

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju akan satu mekanisme bagi pemilik di pangsapuri kos rendah mendapat potongan 25 peratus untuk cukai taksiran.

Pengerusi jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memudahkan pemilik mendapat potongan itu.

Katanya, kelayakan untuk mendapatkan pengurangan cukai taksiran adalah pemilik yang mendiami sendiri kediaman mereka atau yang didiami oleh waris pemilik dan pemilik yang tidak mempunyai tunggakan.

Menurutnya, pemilik hanya perlu mengisi borang khas dan membawanya semasa membayar cukai untuk mendapatkan pengurangan tersebut.

Jelasnya, borang tersebut adalah untuk mengesahkan bahawa mereka mendiami sendiri kediaman mereka yang boleh disahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama (Joint Management Committee - JMC), Ahli Majlis Perbadanan Pengurusan (Management Corporation - MC), Unit Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner of Building – COB atau Ahli Majlis PBT setempat.

“Mereka perlu mengemukakan dokumen yang sah di sisi undang-undang untuk mengesahkan bahawa mereka adalah pemilik atau waris yang sah,” jelasnya yang juga Adun Cempaka dalam satu kenyataan.

Katanya, pengurangan akan diberikan tanpa menunggu kesemua maklumat pembeli-pembeli di sesebuah pangsapuri diperolehi.

Justeru, ujarnya mana-mana pemilik yang datang membuat pembayaran bersama borang khas yang telah disahkan akan mendapat pengurangan.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: