18 Januari 2013

Masalah Tiada Kemudahan Asas di SMK Tinjar Baram Perlu Penyelesaian Segera

6 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

BARAM - SMK Tinjar terletak dalam kawasan parlimen Baram. Majoriti

penduduk berbangsa Iban dan terdapat juga kaum dari keturunan Penan,Kayan, Kenyah dan lain-lain.

Perjalanan dari bandaraya Miri melalui jalan darat mengambil masa
lebih kurang 2 jam setengah. Keadaan jalan menuju ke Tinjar melalui
jalan Lapok masih lagi dalam keadaan teruk terutama sekali musim hujan
lebat dimana air dari sungai Bok melimpah keluar ke jalan menyebabkan
banjir, jalan becak dan licin.

Baru-baru ini kami menerima aduan dari penduduk serta pengajar di SMK
Tinjar Baram tentang masalah bekalan air bersih serta elektrik yang
tidak konsisten atau stabil dalam kawasan mereka.

Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di Tinjar adalah masalah
bekalan air bersih, setakat ini mereka terpaksa menggunakan air hujan
atau air yang dipamkan dari sungai yang berdekatan untuk kegunaan
harian.

Cuba bayangkan betapa sukarnya mereka menghadapi kehidupan dalam
keadaan tiada air bersih dan mereka terpaksa mengharapkan air hujan
untuk mendapat bekalan air bersih untuk memasak, minum dan mencuci
pakaian.

Ada ketikanya para pelajar terpaksa menggunakan air yang dipam dari
sungai untuk mandi sepanjang minggu disebabkan gangguan bekalan air
hujan yang disimpan dalam tangki tidak mencukupi untuk menampung para
pelajar yang terlalu ramai.

Tetapi masalahnya air sungai pun tercemar, kotor serta berbau dan
mereka terpaksa menggunakannya sekiranya berlaku musim kemarau panjang
akibat tiada air hujan.

Begitu juga dengan masalah bekalan elektik yang tidak stabil dan ianya
menggunakan genset untuk kegunaan harian. Menurut salah seorang
pengajar di situ, genset yang digunakan sekarang ini menghadapi
masalah kerosakan. Ianya perlu ditukar dengan genset baru untuk
mengatasi masalah ganguan bekalan eletrik.

Apabila genset menghadapi masalah kerosakan untuk membekalkan aliran
letrik ke tempat kediaman mereka dan mereka terpaksa bergelap pada
waktu malam.

Keadaan rumah dan tempat tinggal pengajar juga ada menghadapi masalah
kebocoran dan retak walaupun tidak sampai 3 tahun digunakan.

Begitu juga keadaan dalam kelas di SMK Tinjar juga menghadapi masalah
kebocoran siling apabila musim hujan lebat para pelajar serta guru
yang mengajar terpaksa mencari tempat teduh untuk mengelak dari basah.

Mereka merayu agar masalah mereka ini dapat diberi perhatian dan dapat
diselesaikan dengan segera memandangkan keadaan kehidupan seharian
mereka sering terganggu akibat tiada kemudahan asas. Selain daripada
itu masalah tempat mengajar juga agak daif dan perlu diperbaiki dengan
segera.

Mereka meminta agar pihak kami dapat mengemukakan masalah mereka
kepada pihak berkuasa agar dapat diberi perhatian serta tindakan
segera.

Kita mengesa agar pihak berkuasa segera mengatasi masalah yang
dihadapi oleh para pelajar serta para pengajar yang mengajar di SMK
Tinjar Baram.

Pihak kementerian pelajaran sepatutnya memandang serius masalah para
pelajar dan para pengajar di pedalaman Sarawak kerana keadaan
kehidupan mereka sangat daif dan tidak ada kemudahan asas yang
sepatutnya diberi kepada mereka yang terpaksa berjauhan dari keluarga
mereka.

Sudahlah keadaan jalan teruk dan tiada sebarang kemudahan asas
diberikan, tempat tinggal para pengajar juga teruk dan tidak terurus
dengan baik oleh pihak pemerintah.

Sepatutnya mereka inilah yang patut diberi segala kemudahan asas
kerana mereka sanggup mengajar di pedalaman Sarawak semata-mata ingin
melihat anak bangsa mereka menjadi berguna untuk negara dimasa
hadapan. Kalau pihak pemerintah terus abaikan nasib serta keadaan
kehidupan mereka terus begini jangan haraplah hendak menerima
keputusan pelajaran yang terbaik dari sekolah yang kurang mendapat
kemudahan asas ini.

Kita sekali lagi mengesa agar perkara ini perlu diberi perhatian
sewajarnya dan juga diselesaikan dengan segera dari pihak pemerintah
demi kemajuan anak bangsa dimasa hadapan.

Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat kita hargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: