13 Jun 2014

BN tarik balik usul soal pelaksanaan hudud

15 Sya'aban 1435. [MOD] -

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata beliau menarik balik usul yang mempersoalkan mengenai kebarangkalian melaksana hudud di Selangor hari ini kerana timbul banyak kekeliruan.

Jelasnya, usul berkenaan ditarik balik kerana ia masih boleh ditanya dalam sesi perbahasan dan tidak perlu dikemuka melalui usul khusus.
Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini, ketua pembangkang itu berkata perkara itu diputuskan dengan persetujuan pemimpin BN Selangor.

"Ia bukan rang undang-undang persendirian. Ia hanya bertanya kepada kerajaan (negeri) sama ada mereka mahu laksanakan hudud (atau tidak).

"Kalau macam ini, kita boleh tanya dalam perbahasan," katanya kepada Malaysiakini.

Speaker DUN Hannah Yeoh dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan tersebut hari ini.

Salahkan akhbar bahasa Cina

Jelas Shamsudin lagi, kekeliruan timbul sebelum ini apabila ramai pihak menyangka BN Selangor memajukan usul untuk melaksanakan hudud di Selangor.

Beliau seterusnya menyalahkan akhbar berbahasa Cina yang menumpukan perkara itu.

"Saya fikir silap faham ini berlaku kerana terlalu banyak akhbar Cina menghubungi saya untuk bertanya tentangnya," katanya tanpa menyebut nama akbar tertentu.

Menurutnya juga, tindakan menarik balik usul selepas ia diluluskan speaker untuk dibahaskan juga adalah satu perkara biasa.

"Itu perkara biasa. Usul ini, kalau kita tengok dalam sidang DUN dan Parlimen boleh ditarik sebelum atau pada tarikh ia akan dibacakan," katanya.

Sebelum ini, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik membawakan usul itu di bawah Peraturan 26, Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

Usul tersebut berbunyi:

"Bahawa Dewan yang mulia ini menggesa kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama Persekutuan".

Usul itu yang diterima Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh mencetuskan pelbagai perbincangan termasuklah daripada MCA dan GERAKAN yang merupakan sekutu Umno di dalam BN.

MCA dan GERAKAN juga menggesa agar Yeoh tidak meluluskan usul tersebut.

Yeoh dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan tersebut hari ini.

Tiada ulasan: