26 Julai 2012

Perigi 100 tahun dari batu sungai

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

MARANG – Perigi lama berusia kira-kira 100 tahun masih digunakan seorang penduduk di Kampung Rhu Rendang Pantai di sini, untuk mendapatkan bekalan air kerana airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang melanda.

Perigi unik itu dibina daripada batu sungai yang disusun padat dan kemas. Uniknya mengenai perigi itu adalah ciri–ciri seni binaan warisan lama masih terpelihara kerana perigi tersebut tidak pernah dibaiki dan sesuai dijadikan produk pelancongan.

Perigi milik Abdul Ghani Said itu adalah perigi tertua di daerah ini, malah pemiliknya mendakwa tidak keterlaluan jika dia mengatakan perigi yang dibina semasa kedatangan tentera Jepun ke Terengganu itu adalah perigi tertua di negeri ini.

Abdul Ghani berkata, sehingga ke hari ini, air dari perigi berkenaan masih digunakan keluarganya, termasuk penduduk kampung berdekatan jika mereka menghadapi masalah gangguan bekalan air terutamanya untuk mandi dan berwuduk.

“Sewaktu ingin membina perigi ini saya berulang alik sejauh lebih kurang dua kilometer memunggah batu sungai dari rumah untuk membinanya. Airnya bukan sahaja jernih tetapi sejuk dan sejak dahulu lagi kami hanya menggunakan timba untuk mencedok airnya.

“Pam air yang biasanya digunakan bagi mempercepatkan proses mengambil air telaga juga sengaja tidak digunakan bagi mengekalkan keunikannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Rhu Rendang Pantai di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, usia perigi itu lebih kurang sama dengan usia Surau Ayah Ngah Him, iaitu satu-satunya surau terawal wujud di kampung tersebut yang diasaskan tokoh agama terkemuka di kawasan berkenaan iaitu Ayah Ngah Him.

“Kalau surau itu dibina 100 tahun lalu, bererti perigi tersebut digali sudah hampir 100 tahun yang lalu juga. Namun, perigi tersebut tidak pernah dibaiki, cuma surau itu sudah tiada dan kini sudah dijadikan rumah kediaman keluarga Ayah Ngah Him,” katanya.

sinar harian/-

Peniaga maut dirempuh kereta api di Kangar

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KANGAR — Seorang peniaga, Yahya Kassim, 74, terbunuh apabila sebuah kereta api barang merempuh kereta yang dipandunya di lintasan kilometer 134.25, Ngulang dekat sini semalam.

Kejadian dilapor berlaku kira-kira 3.05 petang apabila kenderaan warga emas dari arah Mata Ayer menuju Ngulang itu terlajak ke landasan selepas gagal berhenti di palang penghadang yang diturunkan petugas lintasan.

Menurut polis, sebaik tiba di landasan, kenderaan Yahya dirempuh kereta api dari arah Butterworth menuju Padang Besar.

Mangsa yang menetap di Ngulang cedera parah di kepala dan badan manakala keretanya rosak teruk.

Yahya meninggal dunia pada 5.30 petang selepas dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. — BERNAMA

Kajian tidak gambarkan siapa menang PRU13

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mengalu-alukan minat yang semakin kuat di kalangan para akademik untuk membuat kajian-kajian akademik berkaitan dengan landskap politik Malaysia menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Kajian-kajian tersebut pasti akan menyumbang kepada pengukuhan aktivisme politik berasaskan pengetahuan (K-Politics) di negara ini. Kecenderungan para akademik tersebut merupakan satu bentuk sokongan amalan K-Politics kepada parti-parti politik samada dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Parti-parti politik termasuk PAS sendiri mempunyai pasukan khusus memberi fokus kepada kajian-kajian akademik seumpamanya, sekaligus melengkapkan usaha ke arah memperkukuhkan budaya politik yang lebih baik.

Sehubungan dengan itu, PPP menghargai peranan para akademik khususnya Majlis Professor Negara (MPN) yang telah mengambil inisiatif menganjurkan Sidang Meja Bulat “PRU ke 13: Malaysia Pilih Siapa?”

PPP amat mengharapkan penemuan-penemuan kajian tersebut dapat dikongsi bersama dengan parti-parti politik sama ada dari BN atau PR, sesuai dengan matlamat membina budaya politik Malaysia yang sihat.

Di samping itu, PPP mengajak seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung PR supaya tidak panik disebabkan penemuan-penemuan yang dibuat oleh Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali dari UKM dan Prof Madya Dr Rohana Yusof dari UUM seperti yang dibentangkan dalam program anjuran MPN semalam.

Pada pandangan PPP kajian-kajian akademik yang dijalankan oleh beberapa universiti termasuk penemuan yang dibuat oleh Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat dan Prof Madya Dr Rohana Yusof belum cukup untuk menggambarkan siapakah bakal memenangi PRU ke 13.

Kajian-kajian yang dijalankan dengan kecederungan melihat persepsi politik rakyat lazimnya akan menghasilkan peratusan undi popular bukannya parti mana yang akan menang mengikut lokaliti DUN atau Parlimen.

Dengan tidak menafikan peratusan undi popular turut berpengaruh dalam menentukan parti mana yang akan menang, tetapi pengaruh itu tidak mutlak di dalam sistem politik Malaysia. Di Malaysia peratusan undi popular lazimnya tidak menggambarkan berapa bilangan kerusi parlimen atau DUN yang dimenangi oleh sesebuah parti politik, berbanding dengan negara yang mengamalkan sistem politik Proportional Representation.

Di negara-negara yang tidak mengamalkan sistem politik Proportional Representation, untuk meramalkan parti mana yang akan menang, persepsi politik pengundi mengikut lokaliti perlu dicerap.

Persepsi politik pengundi mengikut lokaliti ini akan menggambarkan berapa kerusi yang boleh dimenangi oleh sesebuah parti politik sekaligus parti manakah yang akan menang dalam pilihanraya.

Di Malaysia, untuk menjalankan kajian persepsi politik mengikut lokaliti ini memerlukan kos yang begitu besar dan buat masa ini hanya mampu dilakukan oleh parti-parti politik yang mempunyai jentara akar umbi yang kuat.

Oleh sebab itu, PPP berpandangan proses culaan yang dilaksanakan oleh parti-parti politik di Malaysia sehingga ke peringkat peti-peti undi di samping mencula kecenderungan politik setiap nama yang tertera dalam senarai pengundi adalah lebih kuat menggambarkan parti mana yang bakal menang.

Selain daripada itu, hari ini persepsi politik di Malaysia juga semakin dinamik, dengan ertikata persepsi pengundi sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Pengundi-pengundi Malaysia di bawah 50 tahun terutama di kawasan bandar mempunyai kecenderungan politik yang dinamik dan kurang kecederungan mengundi berdasarkan parti.

Berdasarkan kepada faktor tersebut, penemuan-penemuan yang dibuat oleh kajian Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat dan Prof Madya Dr Rohana Yusof belum tentu akan diterjemahkan dalam PRU ke 13, disebabkan penemuan itu telah berlalu lebih 5 bulan sekiranya PRU itu akan berlaku September ini.

Persepsi politik pengundi-pengundi bawah 50 tahun dan di kawasan bandar mungkin telah berubah disebabkan isu-isu semasa yang berlaku seperti BERSIH 3.0, NFC, Janji PR tentang PTPTN dan termasuk juga tsunami politik di Timur Tengah.

PPP melihat kedua-dua kajian yang dibuat oleh Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat dan Prof Madya Dr Rohana Yusof berlangsung semasa rakyat memperolehi ‘gula-gula’ politik Perdana Menteri khususnya selepas pembentangan belanjawan 2012, Oktober tahun lalu.

Selain daripada itu, beberapa krisis dalaman Kerajaan Negeri pimpinan PR di Kedah dan Selangor, yang dibesar-besarkan oleh media arus perdana ketika tempoh kajian dijalankan turut mempengaruhi persepsi pengundi.

Bagaimanapun, krisis tersebut telah dengan segera dipadamkan oleh pimpinan-pimpinan negeri PR sehingga situasi ini berkemungkinan akan merubah semula persepsi politik para pengundi.

Oleh sebab itu, PPP cenderung untuk bersetuju dengan hasil kajian Pusat Penyelidikan Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang menyatakan bahawa golongan atas pagar yang membuat keputusan di saat-saat akhir akan menjadi faktor penentu siapakah yang bakal menang dalam PRU ke 13.

Oleh sebab itu, sebagaimana yang didedahkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, pada bulan Jun yang lalu, PPP berkeyakinan buat masa ini, dengan kehendak Allah, PR boleh memenangi sekurang-kurangnya 105 kerusi parlimen seterusnya akan berupaya untuk mencapai majoriti mudah dengan perubahan besar politik di Sabah dan Sarawak.

Penulis ialah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS.

Perkahwinan Muda Syafiq & Yana Cetuskan Fenomena

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Sekarang ini, video satu majlis perkahwinan pasangan muda yang hanya dikenali sebagai Syafiq, 16, dan Yana, 14, tersebar meluas di ruang internet.

Pasangan muda itu telah mengadakan majlis persandingan mereka pada awal bulan lalu, 8 Julai dengan meriah sekali.

Lumrah apabila majlis perkahwinan dilakukan, sememangnya menjadi meriah dengan kehadiran para tetamu yang mengenali pasangan pengantin dan keluarga mereka sendiri.

Ramai yang melontarkan pandangan atau komen mereka terhadap perkahwinan muda antara Syafiq dan Yana.

Ada yang memuji kerana mereka sudah pun memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri di usia yang masih lagi terlalu muda memandangkan mereka masing-masing masih lagi bersekolah.

Ada yang mengatakan tindakan mereka mebina rumah tangga di usia yang masih awal itu dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke lembah maksiat.

Namun, ada juga beberapa orang yang memberikan pandangan negatif berhubung perkahwinan antara Syafiq dan Yana.

Mereka menimbulkan persoalan seperti, layakkah Syafiq yang baru sahaja berusia 16 tahun untuk menjadi suami? Mampukah dia untuk memberi nafkah dari segi zahir seperti wang perbelanjaan, permintaan Yana? Apakah mereka mampu untuk menjadi ibu dan bapa di usia muda?

Itu antara komen-komen yang diberikan kepada pasangan kahwin muda itu.

Apa-apa pun, mereka sudah pun selamat bernikah dan melayari alam rumah tangga mereka. Tidak usahlah kalau nak dibangkitkan isu layak atau tidak keinginan mereka untuk mendirikan rumah tangga.

Di dalam Islam sendiri, Islam sememangnya menggalakkan penganutnya untuk mendirikan rumah tangga di usia muda.

“Barang siapa di antara remaja berkahwin dalam usia muda ,maka menangislah syaitan . Dan ia (syaitan) mengeluh, “Aduh celaka aku, agamanya telah dipelihara dari godaanku .” HR. Ibnu ‘Addi.

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan berkahwina muda dapat mengelakkan diri dari di goda dengan segala macam godaan syaitan yang memungkinkan diri kita melakukan maksiat.

Sekali lagi, semua keputusan sama ada kita ingin berkahwin di usia muda atau tua, itu semua terpulang kepada diri sendiri. Tak perlu melakukan sesuatu mengikut cakap seseorang, tetapi, fikirlah untuk kebaikan diri sendiri.

Mengapa berkahwin muda?

Manusia akan menghadapi berbagai kepincangan sekiranya pergaulan lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan.

Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan. Kerana itu, perkahwinan disyariatkan. Dalam perkahwinan, ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya.

Jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, sama ada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya, pasangan itu sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram.

“Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.” Yaasin: 36.

Wallahualam.

Mynewshub

Bumbung rumah bergegar dilanda ribut

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KAMPUNG SURAU - Penduduk merayu bantuan daripada pihak berkenaan, selepas rumah mereka rosak teruk dilanda ribut malam kelmarin.

Nik Aziz Nik Mat, 56, berkata, ribut yang berlaku ketika dia dan keluarga menjamah juadah berbuka puasa itu agak menakutkan, kerana bahagian bumbung rumahnya bergegar.

Katanya, gegaran kuat itu menyebabkan zink rumahnya rosak, dan sebahagian besar bumbung rumah adiknya yang hanya bersebelahan diterbangkan angin kencang.

“Saya terkejut kerana ia berlaku sekelip mata, zink dan kayu daripada bahagian bumbung diterbangkan angin sejauh 50 meter ke atas jalan raya, sehingga hampir menimpa orang ramai.

“Saya risaukan keadaan rumah adik saya, bagaimanapun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat dalam kejadian itu,” katanya.

Nik Aziz tinggal di rumah tersebut bersama isteri dan anak manakala adiknya, Nik Fauzi, 32, tinggal bersama dua abang di rumah bersebelahan.

Nik Aziz berkata, dia yang hanya berpendapatan rendah, dan tidak tetap itu tidak mampu membaiki kerosakan rumahnya itu dalam tempoh segera.

Sementara itu, Nik Fauzi ketika ditemui berkata, dia berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan bebannya dan keluarga, kerana dia bekerja sebagai buruh.

“Selepas memeriksa rumah, saya dapati kerosakannya teruk kerana banyak zink diterbangkan ribut dan kayu bumbung banyak patah.

“Untuk jangka masa panjang, kami mungkin boleh mencari jalan membaikinya namun, untuk tempoh terdekat ini ia agak mustahil sedangkan masalah ketiadaan bumbung itu perlu diatasi segera,” katanya.

sinar harian/-

Cabaran dasar ‘pengurangan harga kenderaan’

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Sebagai rakyat Malaysia, janji politik yang dilontarkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk mengurangkan harga kenderaan ternyata menggamit hati dan perasaan. Jika ini berjaya dilaksanakan, rakyat Malaysia akan merasai kesan positif dengan mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

Sebagai contoh, buat masa ini untuk kereta 1.3 cc rakyat perlu membayar RM500 untuk 9 tahun pinjaman. Dengan kadar gaji asas lepasan diploma sebanyak RM1,500.00, kadar RM500 itu menjangkau 1/3 daripada gaji asas mereka. Ditambah pula dengan syarat yang diperketatkan oleh Bank Negara, graduan yang baru bekerja terpaksa gigit jari untuk memiliki kereta baru.

Malah kenyataan daripada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, bagi tahun 2009 sahaja, seramai 542 orang atau hampir 50 peratus daripada 1,086 penjawat awam yang diisytiharkan muflis pinjaman sewa beli kenderaan. Ujarnya lagi, trend itu meningkat hingga 200 peratus pada 2010. Melihat kepada trend ini ia satu yang sangat membimbangkan.

Justeru itu, tindakan Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kenderaan adalah perkara yang amat dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun di sebalik cadangan tersebut, Pakatan Rakyat (selaku government in waiting) perlu melihat beberapa perkara sebelum ia mampu direalisasikan.

1. Menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya

Apakah pelan jangka panjang Pakatan Rakyat dalam menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya? Mengikut kaji selidik sebuah badan bebas tempatan, penjualan kenderaan persendirian akan mengalami peningkatan hampir 50% dalam masa 3 tahun jika Dasar Pengurangan Harga Kenderaan direalisasikan. Dengan jumlah kenderaan sedia ada yang menjangkau sebanyak 9,721,447 bagi tahun 2011, adakah jalan raya kita sudah bersedia untuk menampung pertambahan sebanyak 50% kenderaan lagi dalam masa 3 tahun akan datang?

2. Tempias kepada pengangkutan awam

Di samping itu juga dengan keupayaan memiliki kenderaan persendirian dipertingkatkan, keinginan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam pasti akan menurun. Berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam. Jika dasar ini direalisasikan nanti, sedikit sebanyak pengangkutan awam akan menerima tempiasnya. Oleh itu apakah mekanisme yang Pakatan Rakyat bakal gunakan bagi menggalakkan rakyat kekal menggunakan pengangkutan awam walaupun dalam keadaan kenderaan persendirian mengalami penurunan harga?

3. Survival Proton dalam mendepani pasaran antarabangsa

Jika Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia pada pasca PRU ke 13, dasar kereta nasional pasti akan diteruskan dengan mekanisme yang pasti berbeza. Walaubagaimanpun, Proton selaku Tunjang Belakang Automotif Negara pasti merasai tempiasnya. Justeru itu, bagi memastikan kesannya dalam kadar yang minima, Proton perlu dilihat sebagai peneraju gergasi automatif negara apabila dasar 'Pengurangan Harga Kenderaan' direalisasikan. Apa yang malang, jika Proton gagal mengharunginya dan terus tenggelam dalam Dunia Automatif Negara. Oleh itu Pakatan Rakyat perlu bersedia bagi memastikan Proton kekal berdaya saing dan rakyat mendapat nikmatnya.

Sebagai kesimpulan Dasar Pengurangan Harga Kenderaan ternyata kena pada masanya di kala rakyat dibebani kos sara hidup yang tinggi. Walau bagaimanapun, ia perlu menjalani kajian yang mendalam bagi memastikan kelestarian negara sentiasa berterusan. Di samping beban rakyat dapat dikurangkan, negara juga turut mendapat tempiasnya, malah alam sekitar juga sentiasa terpelihara.

harakahdaily/-

Terpinggir di negeri 'Tiada Yang Terpinggir'

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TRONOH: Seorang warga emas, Chong Yin Yew mendakwa tidak pernah mendapat bantuan dan dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional negeri Perak.

Chong Yin Yew, 78, merupakan seorang warga emas yang tinggal seorang diri di sebuah rumah serba daif di kawasan Railway Reserve, Pusing.

Beliau yang tidak pernah berkahwin mempunyai lima adik-beradik yang tiga daripadanya telah meninggal dunia.

Warga emas ini juga tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan dan terpaksa meminta makanan daripada sahabat-sahabat dan jiran-jiran di sekelilingnya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ada kalanya, beliau mendapat bantuan makanan daripada restoran-restoran yang berdekatan.

Beliau memaklumkan, pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah sebelum ini.

Menurutnya dua orang pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat lawatan ke rumahnya untuk membuat siasatan awal, tetapi, sudah empat tahun tidak mendapat apa-apa jawapan daripada jabatan itu.

Kesusahan Chong Yin Yew itu turut mendapat perhatian Adun Tronoh V.Sivakumar yang datang melawat beliau selepas warga emas itu sendiri datang mengadu masalah kepadanya.

"Pedih mata melihat papan tanda BN di merata negeri Perak dengan slogan 'Tiada Yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal'.

"Ini adalah satu lagi slogan retorik Barisan Nasional untuk menipu rakyat. Kalau kita jelajah seluruh negeri Perak kita akan bertemu dengan beribu-ribu rakyat yang hidup melarat tanpa sebarang bantuan dan sokongan daripada kerajaan negeri," katanya.

Sehubungan itu, beliau telah menulis surat kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi laporan lengkap kenapa kes ini diabaikan oleh pegawai-pegawainya.

"Saya juga akan membawa isu ini ke Dewan Negeri Perak untuk membela nasib warga emas ini kerana kerajaan BN telah menipu rakyat dengan slogan 'Tiada Yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal'," katanya.

harakahdaily/-

Menteri Pengairan dilantik PM Mesir

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammed Mursi menamakan Menteri Pengairan, Hisham Qandil sebagai Perdana Menteri baru dan bertanggungjawab terhadap pembentukan semula Kabinet.

Menurut pengumuman televisyen tempatan, pelantikan Qandil dilakukan selepas 25 hari Mursi mengangkat sumpah sebagai pemimpin pertama yang dipilih secara demokrasi menggantikan Hosni Mubarak yang meletakkan jawatan susulan pemberontakan terhadapnya awal tahun lalu.

Sebelum ini, Qandil, 50, memegang jawatan sebagai menteri pengairan dalam kerajaan yang sebelum ini disandang oleh Perdana Menteri terdahulu, Kamal Ganzuri.

"Pelantikan ini merupakan satu tindakan patriotik dan bebas mengikut kajian serta perbincangan memilih seseorang yang berupaya mengurus senario semasa," kata Mursi.

sinar harian/-

Tok Guru seru rakyat doa untuk royalti Kelantan

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru masyarakat Islam khususnya rakyat Kelantan memperbanyakkan doa sempena bulan Ramadan ini termasuk doa untuk royalti Kelantan.

Katanya, rakyat Kelantan perlu berdoa semoga Allah memberikan petunjuk kepada pihak yang menyekat pemberian royalti Kelantan agar tidak terus melakukan kezaliman terhadap negeri ini.

“Oleh yang demikian saya minta kepada rakyat doa beramai-ramai moga kezaliman ini diangkatkan dan minta Allah memberi kefahaman kepada menteri terbabit termasuk pegawai Petronas. Kerja menyekat itu suatu dosa,” ujarnya.

"Kalau boleh sebutkan nama menteri atau pegawai terbabit sewaktu sujud ketika solat," katanya lagi.

Menurutnya, pembayaran royalti telah diputuskan oleh Perdana Menteri sebelum ini Tun Abdul Razak, bagaimanapun ianya masih disekat hingga kini.

Pada masa yang sama, katanya Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V sendiri bertitah ketika pembukaan sidang Dun Kelantan 1 Mac lalu, agar pendaratan gas dan petroleum perlu didaratkan di Kelantan dan royalti diselesaikan dengan segera.

“Tetapi reaksi dari menteri sepatahpun berhubung perkara itu langsung tidak ada, ianya betul-betul memalukan orang Melayu yang tidak hormat pada rajanya sendiri.

Tambah Tuan Guru, dosa menyekat royalti bukan seperti dosa dengan individu, sebaliknya melibatkan rakyat Kelantan lebih 1.4 juta orang.

“Kalau menteri berkenaan yakin ianya (menyekat royalti) suatu dosa, elok percepatkan pembayaran royalti pada Kelantan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, keberkatan Ramadan katanya perlu diisi sebaiknya dengan ibadah termasuk berzikir, bertasbih dan bersedekah kerana ibadat suatu perkara yang mudah tidak perlu mengambil waktu, tempat yang khusus.

“Berdoa ni tidak semestinya sewaktu sembahyang (solat) di luar sembahyangpun boleh dan tidak semestinya di masjid, sambil memandu kenderaanpun boleh atau berjalan kaki juga boleh,”ujarnya.

Sambungnya, amat rugi sekiranya umat Islam membiarkan Ramadan berlalu pergi tanpa meningkatkan amalan masing-masing.

harakahdaily/-

Beli nombor ekor tanpa malu di bulan Ramadan

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BANDAR TEMERLOH - Ketika umat Islam sibuk merebut pahala berganda ketika ini, masih ada segelintir umat Islam mencemar kesucian Ramadan tanpa rasa malu apabila membeli nombor ekor.

Aktivis masyarakat, Zainor Rashid Abdullah, 52, berkata, dia kesal dengan perbuatan segelintir umat Islam itu yang sengaja menunjukkan sikap kurang baik pada mereka yang bukan beragama Islam.

Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan ada bapa yang membawa anak kecil membeli nombor ekor dan sudah pasti perbuatan buruknya itu akan menjadi contoh serta ikutan kepada anaknya.

“Kita sedih melihat umat akhir zaman ini yang sengaja melakukan perbuatan berdosa tanpa ada perasaan bersalah atau malu pada masyarakat umum.

“Perkara ini umpama menconteng arang di muka umat Islam dan seharusnya ia tidak berlaku. Kita dapat lihat ada segelintir umat Islam membeli nombor ekor di kedai-kedai sekitar Temerloh dan Mentakab,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainor Rashid berkata, selain itu daripada sumber yang diperoleh terdapat juga kakitangan kerajaan terlibat dalam aktiviti kurang sihat itu, termasuk warga emas yang sepatutnya menjadi contoh dan tauladan kepada generasi muda.

“Perkara ini perlu dibendung segera kerana kita tidak mahu lebih ramai umat Islam terjebak dalam perkara tidak bermoral ini yang mana akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masa depan," katanya.

Dalam pada itu, dia juga meminta pihak berkuasa memantau perang mercun di taman perumahan kerana ia mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak dan warga emas.

“Kita kecewa kerana bekalan mercun mudah didapati dan boleh dibeli oleh kanak-kanak bawah umur,” katanya.

sinar harian/-

"Kami Dengar Bunyi Tembak-Menembak Di Kawasan Rumah" - Pelajar Malaysia Di Syria

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SEPANG: "Kami mendengar bunyi tembak-menembak dan terdapat banyak askar di kawasan berhampiran dengan rumah kami," demikian kata seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Kolej Mujamma' Syeikh Ahmad Kiffaro, Syria.

Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri, 21, yang mengambil jurusan Usuluddin tahun pertama berkata, keadaan di kawasan sekitar kediaman di Midan, Syria begitu teruk pada Rabu dan Khamis minggu lepas.

"Saya dengar ada kawan yang cedera tetapi bukan pelajar Malaysia. Alhamdulillah, semua pelajar kita selamat.

"Keadaan itu menyebabkan kami membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia," katanya kepada para pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Rabu.

Hasan merupakan salah seorang daripada tujuh pelajar Malaysia di Syriayang selamat tiba di tanah air pada petang Rabu menerusi penerbangan Emirates EK346.

Beliau mewakili semua pelajar mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sertaKedutaan Besar Malaysia di Syria kerana secara serius dan bertungkuslumus membawa mereka keluar dari Syria dengan segera dan selamat.

"Syukur Alhamdulillah kepada Tuhan kerana memberi peluang kepada kami untuk menjejakkan kaki ke tanah air semula dengan selamat," katanya.

Bagi rakan sekolejnya yang mengambil jurusan Syariah tahun pertama,Muhammad Afifudin Md Tahir, 23, mereka mengambil keputusan untuk berada di dalam rumah sebagai langkah keselamatan sepanjang krisis perang saudara itu merebak ke kawasan mereka.

"Difahamkan, terdapat kawasan yang dikelilingi dengan kem tentera. Keadaan ketika ini tidak menentu.

"Keadaan minggu lepas lebih teruk berbanding minggu ini. Sekarang sudah kurang bunyi tembak-menembak," katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, bapa Afifuddin, Md Tahir Ali, 67, berkata, dia ada menghubungi anaknya itu dua hari lepas bagi mengetahui perkembangan di Syria.

"Saya tanya pada dia (Afifuddin), adakah dia selamat di sana. Jika selamat, terus tunggu dahulu. Jika tidak selamat, terus pulang ke Malaysia. Dan dia mengatakansituasi di sana sudah tidak terkawal lagi maka saya suruh dia supayapulang dengan segera," katanya.

Md Tahir yang merupakan seorang guru berkata, sebagai bapa dia hanyaberdoa dan berserah kepada Tuhan mengenai keselamatan anaknya.

Jelasnya, dengan bantuan kerajaan dan Kedutaan Besar Malaysia diSyria, anaknya berjaya dibawa pulang dengan selamat.

Isterinya, Ariffah Ahmad, 62, pula berkata, dia mendoakan keselamatan anaknya setiap hari.

"Syukur Alhamdulillah, dia selamat. Insya-Allah kami berpeluang untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga. Dia sepatutnya tidak pulang untuk beraya tahun ini," katanya mengenai Afifuddin yang merupakananak keempat daripada lima adik-beradik.

Sementara itu, ibu kepada pelajar Abdul Halim Mohammad Ghazali, Ruslina Abduss Samad berasa bersyukur apabila mendapat tahu anaknya selamat dari Syria.

"Saya cukup risau tentang keselamatan dia (Abdul Halim). Kali terakhir menghubungi dia kira-kira dua bulan lepas dan selepas itu terputus hubungan.

"Bila mengetahui keadaan Syria yang semakin teruk, saya bertambah risau tentang keadaan dia," katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Suaminya, Mohammad Ghazali Mohd Sahar, 51, pula berkata, dia akhirnya cuba untuk menghubungi anaknya menerusi laman sosial, Facebook.

"Alhamdulillah, dia membalas mesej saya di Facebook mengatakan dia selamat.

"Tetapi malam itu dia ada menghubungi saya yang dia ternampak kereta kebal. Dia hubungi secara curi-curi dan takut.

"Saya menasihatkan supaya berpindah kalau tidak selamat dan keputusan terbaik adalah pulang ke Malaysia," katanya yang mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan terutama sekali Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Syria kerana menjayakan proses perpindahan tersebut.

mstar/-

Himpunan raksasa isu air Selangor - Mohd Sabu

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Lebih banyak demonstrasi mungkin diadakan sehinggalah rakyat Selangor diselamatkan dari perjanjian konsesi air yang menindas mereka, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Kalau kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga ini masih menguasai Putrajaya terus berdegil dan bersikap memihak kepada perjanjian konsesi air yang menindas pengguna-pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan, ia bermakna mereka memaksa rakyat yang terlibat turun ke jalan raya," katanya.

Mohamad tidak menolak berlaku perhimpunan raksasa seperti perhimpunan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil seperti yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

"Kalau kerajaan Umno BN terus memihak kepada kepentingan kroni mereka, Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor), tidak ada yang boleh menghalang perkara itu berlaku.

"Sekarang, perkara itu tidak berlaku kerana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Tan Sri (Abdul) Khalid (Ibrahim) yang mentadbir Selangor berjaya menghalang kerakusan Syabas hendak menaikan tarif air di negeri itu dan di Wilayah Persekutuan," katanya.

Mohamad juga menyokong rancangan kerajaan Selangor hendak mengadakan referendum untuk mencari penyelesaian berhubung isu pengambilalihan Syabas.

"Belum buat referendum lagi, cadangan itu sudah mendapat sokongan banyak pihak.

"Kalau Umno BN terus menguasai kerajaan Persekutuan dan tidak setuju dengan referendum itu, ia bermakna mereka menjemput dan memaksa rakyat turun ke jalan raya dan terus berdemonstrasi sehingga mereka tidak lagi ditindas dalam isu air itu.

"Sama ada rakyat akan turun ke jalan raya atau tidak, ia bergantung kepada keputusan kerajaan Umno BN - sama ada menyebelahi rakyat atau menyebelahi Syabas," katanya.

Mohamad mengecam tindakan kerajaan Umno BN yang membuat skrip dan menjadi pengarah wayang krisis air di Selangor.

"Apabila kerajaan Umno BN berkata catuan air dibatalkan setelah mereka tertekan dengan keputusan kerajaan Selangor, terbuktilah kerajaan Umno BN membuat wayang krisis air itu," katanya.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan Umno BN itu tidak bertanggungjawab kerana sanggup menganiaya rakyat lebih-lebih lagi melibatkan air yang menjadi salah satu keperluan asasi mereka yang utama.

Kerajaan seperti itu, kata Mohamad, amat zalim dan mesti dihukum habis-habisan dalam pilihan raya umum akan datang.

Berdasarkan perjanjian dengan kerajaan BN yang memerintah Selangor sebelum pilihan raya umum 2008 dahulu, Syabas diberi hak untuk menaikkan tarif air sehingga lima kali.

Pada tahun 2009 dahulu Syabas dibenar menaikkan tarif setinggi 37 peratus. Selepas itu, pada 2012, diberi lagi kebenaran untuk menaikkan tarif setinggi 25 peratus (2012).

Tidak cukup dengan itu, pada 2015, Syabas mendapat kebenaran lagi untuk menaikkan tarif air setinggi 20 peratus (2015). Selepas itu, ada lagi habuan untuk meningkatkan keuntungan apabila Syabas dibenarkan menaikkan tarif sehingga 10 peratus pada tahun 2018 dan lima peratus pada tahun 2021.

Bagaimanapun, kerakusan itu dihalang oleh kerajaan PR yang memerintah Selangor selepas pilihan raya umum 2008.

harakahdaily/-

Patah kaki rebut anak

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KAJANG: Seorang wanita cedera di kepala dan patah kaki kanan akibat terseret kereta dipandu bekas suaminya sejauh kira-kira 10 meter selepas kedua-duanya berselisih faham kerana berebut anak.

Kejadian berlaku di Taman Prima Kajang, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari dan mangsa yang berusia 29 tahun dikatakan pengsan akibat kecederaan dialami.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Rama, 49, berkata, anaknya diserang bekas suami berusia 30-an yang mahu mengambil anak lelaki mereka berusia lima tahun.

Menurutnya, pasangan itu sudah bercerai sejak sebulan lalu dan hak penjagaan terhadap dua anak lelaki mereka yang berusia setahun dan lima tahun dijaga mangsa.

“Sebelum kejadian, bekas menantu saya datang ke rumah dan mahu mengambil anak sulung mereka hingga berlaku pergaduhan. Anak saya cuba menghalang apabila bekas suaminya mahu membawa anak mereka ke rumah ibunya di Pahang.

“Sebaik merampas kanak-kanak itu, bekas suaminya terus masuk ke dalam kereta menyebabkan anak perempuan saya berlari untuk mendapatkan kembali anaknya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa cuba mengambil anaknya yang diriba bekas suaminya, namun tidak berjaya apabila lelaki itu terus memandu kereta tanpa menghiraukan mangsa yang terseret.

Rama berkata, dia membawa anak perempuannya itu yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

metro/-

85 peratus orang kita berpuasa, tapi tak solat

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Marilah kita sama-sama ingat mengingati mereka yang alpa untuk kebaikan kita bersama.

Puasa Tapi Tak Solat

Amalan puasa orang yang tidak solat, rosak dan tidak diterima Allah kerana ibadah lain hanya akan dilihat Allah selepas ibadah solat.

Pakar motivasi, Halim Din, berkata 80 hingga 85 peratus mereka yang berpuasa tidak menunaikan solat kerana berasakan kewajipan lima kali sehari itu payah untuk dilaksanakan.

Sedangkan katanya, nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah dinilai daripada kesempurnaan solat mereka.

Untuk melihat ibadah lain, Allah akan lihat solat dulu. Jika tidak solat, ibadah lain Allah tidak akan lihat. Malangnya, umat hari ini beriya-iya berpuasa, tetapi tidak solat. Mereka hanya dapat lapar dan dahaga saja, katanya pada majlis Ihya Ramadan di surau The New Straits Times Press (NSTP).

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Puasatetapitidaksolat/Article/artikel

Alumni Maahad sumbang untuk Lebuh Raya Rakyat

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Lagi sumbangan untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat diterima oleh kerajaan negeri, kali ini dari alumni Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki sesi 1991-1996 (Ex-MML 9196).

Sumbangan sebanyak RM1,300 disampaikan oleh penasihat persatuan itu, Mohd Ami Zul Fazli kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di pejabat menteri besar semalam.

Turut hadir bersama, wakil persatuan pelajar itu pelajar Wan Abdul Hafiz, Abdul Rashid Yah dan Mohd Shahruddin.

Ami Zul ketika ditemui memberitahu sumbangan berkenaan diberikan oleh ahli-ahli Ex-MML di Kuala Lumpur.

“Kami menyediakan tabung khas bagi membolehkan ahli-ahli kami menunaikan tanggungjawab mereka untuk menderma,”ujarnya.

Katanya, Ex-MML merasakan tanggungjawabnya untuk turut menyumbang pembinaan lebuh raya itu sebagaimana orang lain.

“Kami berdoa, khususnya pada bulan Ramadan ini, kerajaan negeri dapat menyiapkan lebuhraya yang memang diimpikan oleh anak Kelantan di perantauan mengikut jadual yang ditetapkan,”ujarnya.

harakahdaily/-