22 Mei 2008

Mokhzani keluar daripada Umno

Bekas Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mokhzani Mahathir pagi ini mengumumkan keluar daripada Umno mengikuti jejak bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan hasrat serupa dua hari lalu.

Datuk Mokhzani Mahathir mengesahkan bahawa beliau sudah menghantar surat keluar daripada Umno ke pejabat Umno Bahagian Merbok menerusi faks, semalam.

"Saya membuat keputusan untuk keluar Umno kerana bersetuju dengan pendapat ayah saya bahawa Umno yang ada sekarang bukan lagi Umno sebenar," katanya.

Mokhzani, 47, bekas Ketua Pemuda Bahagian Merbok, kini lebih aktif dalam sektor korporat.

Semalam adik beliau, Datuk Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, membuat keputusan untuk terus berada dalam Umno sungguhpun beliau bersependapat dengan bapanya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan dengan segera "bagi menyelamatkan Umno".

Dua hari lalu, Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar Umno kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, dan menyatakan akan kembali menyertai Umno selepas Abdulllah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Di SUNGAI PETANI, Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Mokhzani itu tetapi menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang kesan terhadap kepemimpinan Umno bahagian itu kerana beliau hanyalah seorang anggota biasa dari Umno Cawangan Sungai Layar Hujung.


Tiada ulasan: