27 Julai 2008

Perkampungan Media Sukan Olimpik Beijing Dibuka

BEIJING, 25 July:-Dua perkampungan media dibuka secara rasmi hari ini untuk mengalu-alukan seramai 7000 orang wartawan yang berdaftar dari seluruh dunia untuk membuat liputan tentang Sukan Olimpik Beijing.

Dalam tempoh Sukan Olimpik Beijing, pihak penganjur menyediakan dua perkampungan media, iaitu Rumah Hijau dan Huiyuan yang memberikan perkhidmatan kepada seramai 7000 orang wartawan yang berdaftar.

Ketua Pengarah Kumpulan Pentadbiran Perkampungan Media, Puan Zhao Jinfang menyatakan: "Perkampungan Media Rumah Hijau dibuka secara rasmi dan telah menerima seramai 427 orang wartawan hari ini. Kami akan menerima seramai lebih 6000 orang wartawan berdaftar lagi dari lebih 70 buah negara."

Difahamkan bahawa pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing telah membuat persiapan yang terperinci untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada wartawan dari pelbagai tempat di dunia. Penginapan dan keperluan hidup seharian para wartawan di kampung media ini terjamin.

Setiap wartawan yang akan tinggal di perkampungan media ini dijamin sebuah bilik seorang dengan kelengkapan yang mencukupi. Wartawan Britain, Mattew Leach yang telah melalui proses mendapatkan penginapan dalam perkampungan media ini menyatakan: "Baik sekali. Semua yang saya harapkan ada di sini. Televisyen, alat penyaman udara ada dan katil besar sekali. Bilik ini amat terang dan selesa."

Di samping itu, kedua-dua perkampungan ini juga menyediakan perkhidmatan makan minum sepanjang 24 jam dengan makanan yang mempunyai yang berlainan dari pelbagai tempat di dunia untuk memenuhi selera wartawan yang berbeza-beza.

Selain itu, kemudahan pengangkutan juga disediakan 24 jam untuk kegunaan wartawan yang tinggal di kedua-dua perkampungan media ini.

Dengan mengambil kira sesetengah wartawan mungkin perlu bekerja selepas balik ke perkampungan media, pihak penganjur telah membina bilik kerja di kedua-dua perkampungan tersebut. Bilik kerja itu dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan faks, internet, telefon jarak jauh, televisyen dan lain-lain. Petugas Bilik Kerja Perkampungan Media Rumah Hijau, Encik Zhang Xiangdong memberitahu wartawan bahawa fungsi bilik kerja ini seperti sebuah pusat media utama (MPC) yang kecil.

"Bilik kerja ini menawarkan perkhidmatan internet, mengedit dan lain-lain kepada para wartawan secara percuma. fungsi bilik kerja ini boleh dikatakan amat lengkap dan seperti MPC yang kecil."

Selain itu, perkampungan media Rumah Hijau juga mempunyai dua buah kedai runcit dan sebuah kedai yang menjual barang-barang dagangan francais daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik, dua gimnasium, bank, kolam renang dan lain-lain untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh kepada para wartawan.

Ketua Pengarah Kumpulan Pentadbiran Perkampungan Media Rumah Hijau, Puan Zhao Jinfang menyatakan bahawa matlamat perkampungan media adalah untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada para wartawan supaya keperluan asas mereka dipenuhi dan mereka dapat bekerja dengan selesa dan mudah semasa membuat liputan tentang Sukan Olimpik Beijing.

Tiada ulasan: