15 Julai 2008

Siaran langsung debat perdana.

KUALA LUMPUR,14 July :- Bernama TV melalui saluran Astro 502 akan menyiarkan secara langsung debat isu kenaikan harga minyak antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Debat satu jam setengah itu bertajuk 'Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' anjuran portal berita Agenda Daily, akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bermula jam 9 malam. TV9 juga akan menyiarkan debat itu secara langsung.

Pengerusi DBP, Datuk Johan Jaaffar yang juga moderator debat itu, berkata debat itu menyerupai debat presiden di Amerika Syarikat. “Kedua-dua pendebat itu akan berada di pentas dan diberi lima minit setiap seorang sebagai mukadimah dan saya akan tanya satu soalan setiap seorang,” katanya.

Johan berkata Anwar dan Ahmad Shabery masing-masing akan juga menjemput wartawan yang mereka pilih untuk bertanyakan soalan.

“Wartawan yang dijemput Ahmad Shabery akan bertanyakan soalan kepada Anwar dan wartawan yang dijemput Anwar akan menanyakan soalan kepada Ahmad Shabery. Saya lihat cara ini adil,” katanya.

Ditanya persediaan beliau sendiri untuk debat itu, Johan berkata beliau seboleh mungkin tidak mahu campur tangan terhadap soalan yang akan ditanya wartawan. “Saya hanya akan menumpukan kepada tajuk dan tidak tahu soalan apa yang mereka akan tanya,” katanya.

Tiada ulasan: