IPOH, 15 July :- Pakatan Rakyat belum membuat keputusan bersetuju untuk melantik mana-mana pimpinan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika berjaya menubuhkan Kerajaan Pusat pada 16 September ini seperti diuar-uarkan, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, gabungan pembangkang yang dibentuk daripada kerjasama Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sehingga kini tidak pernah melantik sesiapa pun menjadi ketua kerana setiap keputusan berhubung kepimpinan akan dibuat secara kolektif. Katanya, setakat ini Pakatan Rakyat hanya mengesahkan bersetuju untuk melantik Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, itu pun jika beliau menang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.
"Kita tidak pernah membuat pengumuman (Anwar akan jadi Perdana Menteri). Kita akan bincang dan akan melihat siapa yang boleh diterima oleh masyarakat majmuk. "Dia tidak (belum) bertanding lagi. Tunggu dia bertanding, tunggu dia menang. Lepas menang, kita tunggu 16 September.
Jadi, nanti dulu, belum tiba masanya (bincang siapa jadi Perdana Menteri), kalau tidak nanti kita akan jadi seperti Mat Jenin. "Saya tak mahu jadi ahli politik Mat Jenin. Tulis Mat Jenin (meminta wartawan menulis)... panjat pokok kelapa, belum dapat buah, dah bercita-cita nak jadi raja," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-54 di Stadium Indera Mulia di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan perwakilan Pemuda Pas dan Dewan Ulama kelmarin yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Pusat berbanding Anwar yang diuar-uarkan penyokongnya sebagai `Perdana Menteri menanti'.
Malah, beberapa perwakilan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas secara terbuka mengingatkan kepimpinan serta ahli parti supaya jangan terlalu kagum dengan Anwar, sebaliknya berhati-hati dengan Penasihat PKR itu. Abdul Hadi berkata, luahan tidak puas hati itu adalah pandangan peribadi perwakilan, bukannya keputusan Pas dan sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, mereka boleh bercakap apa saja tetapi yang membuat keputusan ialah kepemimpinan tertinggi.
Katanya, Pas sebagai parti Islam hanya akan menyertai kerajaan yang berteraskan orang Melayu/Islam dan faktor itu sudah diterima semua termasuk komponen Barisan Nasional (BN) yang boleh menerima Umno dan orang Melayu sebagai teras pemerintahan negara.
Ditanya adakah kenyataannya itu bermaksud Pas mahu menjadi teras dalam Pakatan Rakyat seperti Umno dalam BN, beliau berkata: "Tidak semestinya... kita akan melihat kepada penerimaan rakyat nanti." Beliau juga berkata, parti itu akan melihat kepada pandangan dan realiti politik semasa serta perbincangan dalam Pakatan Rakyat sama ada bersedia menerima Timbalan Perdana Menteri bukan Melayu/Islam.
Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, pula mengakui Pakatan Rakyat masih belum membuat sebarang keputusan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri jika mereka berjaya membentuk kerajaan Pusat pada masa depan.
"Sehingga ini, belum ada perbincangan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri bagi kerajaan baru yang bakal dibentuk. Apa yang dikatakan Abdul Hadi itu adalah betul," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan