10 Ogos 2008

Sukan Olimpik Beijing Dirasmikan

BEIJING, 8 Ogos :-Sukan Olimpik ke-29 dirasmikan di Beijing. Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge menyeru para atlet supaya menghormati semangat Olimpik dan bersungguh-sungguh menghadapi pertandingan.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis pembukaan Sukan Olimpik Beijing pada pukul 8.00 malam ini.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada BOCOG dan semua sukarelawan yang melibatkan diri dalam temasya sukan ini.


Pengerusi BOCOG, Liu Qi dalam ucapannya berkata, dalam pelaksanaan proses persiapan Sukan Olimpik, semangat Olimpik disebarkan meluas di kalangan masyarakat China. Beliau mengalu-alukan kedatangan ramai tetamu dari seluruh dunia dan menyampaikan terima kasih kepada mereka yang menyokong pelaksanaan temasya sukan ini.



Sebanyak 204 buah kontinjen serta 80 orang ketua negara dan pegawai kanan asing menghadiri majlis pembukaan itu. Antaranya, Presiden A.S., George W. Bush, Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Yang dipertuan Agung Malaysia, Sultan Mizan Zainal Abidin. Atlet-atlet yang mengambil bahagian dan wartawan yang membuat liputan tentang temasya sukan itu masing-masing mencatat 11 ribu dan 30 ribu. Angka itu merupakan rekod baru dalam sejarah Sukan Olimpik.

Upacara persembahan pada majlis pembukaan tersebut diatur oleh pengarah filem China, Zhang Yimou, dan temanya ialah "Indahnya Olimpik".



Menjelang berakhirnya majlis pembukaan itu, atlet gimnastik China, Li Ning yang pernah menggondol 3 pingat emas dalam Sukan Olimpik Los Angeles 1984 menyalakan obor utama.

Sukan Olimpik buat pertama kalinya dilaksanakan di China, sebuah negara yang memiliki populasi yang paling ramai di dunia. Pelaksanaannya ialah kali ketiga di bandar Asia. Temasya sukan itu berlangsung sehingga 24 Ogos nanti.

Tiada ulasan: