22 Oktober 2008

Sokong Presiden PAS, Najib patut bersih dan dibersihkan


PARIT, 20 Okt (Hrkh) - PAS Kawasan Parit menyokong penuh saranan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan nama timbalannya yang bakal mengambil-alih tempatnya Mac depan, di mahkamah kerana terlalu banyak tuduhan terhadapnya. Menurut Ketua Penerangannya, Rafaie Kasini Haji Bahari, imej Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang kini diuar-uarkan sebagai pengganti Abdullah patut dibersihkan reputasinya dengan sebarang cara termasuk dengan menggunakan mahkamah jika Abdullah benar-benar ikhlas untuk melakukan reformasi.

Katanya kepada Harkahdaily sebentar tadi, adalah amat malang bagi rakyat Malaysia, jika Najib dilantik menjadi Perdana Menteri Mac depan dengan imej yang begitu buruk. Oleh itu, tegas beliau, menjadi tanggungjawab Abdullah untuk mempastikan penggantinya bersih dari sebarang rekod buruk atau kes mahkamah.

Saranan Presiden PAS itu juga disokong penuh Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya.Dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, beliau mahu PAS mendesak Perdana Menteri agar menggunakan ruang selama lima bulan ini untuk mempastikan bakal penggantinya seorang yang amanah, bersih dan berakhlak.

"Abdullah boleh menggunakan kuasanya untuk berbuat demikian. Jangan terikat dengan mana-mana pihak. Utamakan kepentingan rakyat. PM suatu jawatan yang penting, jadi pastikan orang yang jadi PM itu bersih atau dibersihkan terlebih dahulu," tegasnya. -dipetik dari sumber HarakahDaily