04 November 2008

Kerajaan Negeri ringankan beban mangsa banjir di Bagan Serai.

BAGAN SERAI, 1 Nov :-Mangsa banjir di Daerah Kerian terus mendapat pembelaan dari Kerajaan Pakatan Rakyat dengan diadakan mejlis penyampaian sumbangan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) berupa wang tunai bagi meringan beban kerugian yang ditanggung oleh mangsa.

Turut Hadir dalam majlis tersebut ialah ADUN Gunung Semanggol, Ramli Tusin , Ahli Parlimen Bagan Serai , Penolong Setiausaha MAIPK, Mohd Haidi bin Sulaiman, Pegawai Baitulmal Daerah Bagan Serai, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua kampung.


Seramai 131 keluarga yang berpindah menerima sumbangan tersebut dari MAIPK yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha MAIPK, Adun Gunong Semanggol dan Ahli Parlimen Bagan Serai.

Penerima sumbangan memenuhi dewan orang ramai Alor Pongsu

Majlis penyerahan sumbangan ini telah diadakan di dua tempat berbeza iaitu di Masjid Daerah Bagan Serai bagi kawasan Alor Setanggok dan Sungai Bogak dan di Dewan Orang Ramai Alor Pongsu bagi kawasan Alor Pongsu dan Bukit Merah. Kesemua mangsa atau wakil telah hadir menerima sumbangan tersebut.

Dalam ucapan ringkas ADUN Gunung Semanggol mengingatkan kepada semua mangsa agar bersabar menghadapi ujian dan menekankan bahawa setiap musibah ada hikmahnya. "Berusahalah untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dan jangan lalai dari mengerjakan segala suruhanNya. Usaha-usaha dari kerajaan negeri sedang dibuat bagi mengatasi masalah ini yang telah berlarutan sejak sekian lama." tegasnya.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAIPK dan Baitulmal yang sudi menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir khususnya di daerah Kerian ini.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengahari yang disediakan oleh Penghulu Mukim Beriah.