09 November 2008

Kerajaan Perak anjur Solat Hajat Perdana pada 9 Nov

IPOH, 6 Nov : - Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa mendedahkan masih terdapat pegawai-pegawai kerajaan di Negeri Perak yang tidak memberikan kerjasama dengan Kerajaan Negeri walaupun kini sudah lapan bulan Pakatan Rakyat menerajui negeri ini.

Walaupun bilangan mereka tidak ramai tetapi ianya sedikit sebanyak boleh merencat hubungan antara pegawai kerajaan jabatan kerajaan dengan Kerajaan Negeri khususnya dengan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin.

"Menyedari hakikat ini Pemuda Perak mengambil langkah unuk menyelamatkan Kerajaan Negeri dengan mengadakan solat hajat perdana khusus untuk memohon pertolongan dari Allah agar terbuka hati pegawai pegawai kerajaan tersebut untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri,"katanya dalam satu pertemuan dengan Harakahdaily di sini semalam.

"Solat hajat perdana itu akan dilangsungkan pada 9 November ini di Mini Stadium Manjoi, ianya dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan yasin dan selepas solat isya' kita adakan solat hajat perdana dan diakhir dengan ceramah perdana yang akan disampaikan oleh pimpnan PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Ahmad Awang dan Menteri Besar Perak,"jelasnya.

Serentak dengan itu juga akan dilancarkan Tabung Pembinaan Kompleks PAS Perak bagi mencari dana untuk membina sebuah kompleks PAS Perak yang lengkap seperti mana Kompleks Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK).

"Sudah sampai masanya kompleks seumpama itu diwujudkan di negeri ini, kerana itu Pemuda Perak mengambil inisiatif melancarkan tabung pembinaan KOmpleks PAS Perak," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa seluruh ahli PAS hadir di majlis solat hajat perdana serentak dengan pelancaran tabung pembinaan Kompleks PAS Negeri Perak.