21 Disember 2008

Kabinet tangguh keputusan syor Sime Darby ambil alih IJN-ikuti komen MAHATHIR DAN KAKITANGAN IJN

[DIKEMAS KINI, 10 MALAM](Jumaat Disember 19, 2008-KUALA LUMPUR: Kabinet menangguhkan keputusan berhubung cadangan Sime Darby untuk mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sementara menunggu perbincangan lanjut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengesahkan perkara tersebut pada sidang media sebentar tadi.

Kata beliau, kerajaan hanya bersetuju pada dasarnya tertakluk pada syarat bahawa tanggungjawab sosial IJN tidak akan dipinggir atau dikurangkan sama sekali.

"Selain itu, sekiranya IJN diserahkan kepada Sime Darby, ia bereti bahawa sumbangan kerajaan untuk pembedahan akan terus dilakukan.

"Ini bermakna tanggungjawab sosialnya akan disumbangkan dan ia tidak diabaikan atau dikorbankan sama sekali," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan penangguhan itu diambil demi kepentingan rakyat sementara menunggu perbincangan susulan yang mendalam.

IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., milik penuh Kementerian Kewangan.

Malah, kata beliau, keputusan itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Tambah beliau, kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan.

Bagaimanapun, Najib berkata, faktor masa tidak penting.

"Apa yang penting ialah keputuan itu akan menguntungkan rakyat dan akan menjadikan IJN pusat jantung bertaraf dunia," katanya.

Cadangan pengambilalihan itu mendapat reaksi bercampur aduk dengan banyak pihak berpendapat ia tidak wajar diswastakan.

KOMEN MAHATHIR

Turut memberikan pandangan hari ini ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang telah dua kali menjalani pembedahan pintasan koronari jantung sebanyak dua kali, berpendapat IJN wajar kekal seperti sekarang.

"Saya jarang menentang penswastaan tetapi dalam hal ini, saya merasakan penswastaan adalah salah untuk dilaksanakan," kata beliau dalam blognya hari ini.

"Biarkan institusi ini sebagimana sekarang. Ia ada kebanggaan kita dan ia melakukan kerja yang baik," tambah beliau.

Oleh kerana Barisan Nasional (BN) sudah tidak popular sekarang, tambah beliau, mengapa harus memberikan satu lagi isu kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan pusat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad gembira dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN).

Ketika ditemui wartawan lewat petang ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak fikir penswastaan itu adalah satu idea yang baik memandangkan institut itu "adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini.

"Setakat ini tiada aduan mengenai IJN.

"Mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin.

"Semua orang telah mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri," katanya selepas menerima RM150,000 bagi pihak Yayasan Kuala Lumpur untuk Menjenayahkan Perang, yang dipengerusikannya.

KOMEN PAKAT IJN

Sementara itu, doktor-doktor IJN berkata, pihaknya gembira untuk berkhidmat dengan institut berkenaan dalam keadaan semasa dan tidak mahu dijadikan 'kambing hitam' dalam cadangan penswastaan pusat perubatan berkenaan.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 33 daripada 35 pakar runding perubatan yang berkhidmat di IJN, mereka menegaskan, syor penswastaan tersebut bukan merupakan respons kepada tuntutan mereka untuk mendapatkan skim gaji yang lebih baik.

Doktor-doktor berkenaan menambah, kakitangan perubatan tidak terlibat dalam perundingan pengambilalihan IJN.

KOMEN-KOMEN SEBELUM PENANGGUHAN PENGAMBILALIHAN IJN

KOMEN MENTERI KEWANGAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, kerajaan tidak menghalang hasrat Sime Darby Bhd untuk menguasai pegangan dalam IJN tetapi konglomerat itu perlu memberi jaminan akan mengutamakan golongan miskin.

"Kita kini dalam proses memuktamadkan perkara ini bersamasama Kementerian Kesihatan walaupun pada dasarnya kita tidak membantah cadangan itu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai AIDS di Parlimen di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Sime Darby perlu menyatakan komitmennya bahawa perhatian kepada golongan miskin tidak akan dikurangkan sekiranya IJN akan berpindah kepada Sime Darby.

"Apa sahaja kedudukan IJN, program sosial perlu diberikan keutamaan," kata beliau semasa mengulas isu berkenaan.

KOMEN MENTERI KESIHATAN

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata, modus operandi dan objektif IJN akan kekal sebagai pusat jantung yang berkhidmat untuk rakyat walaupun ia diambilalih pada masa akan datang.

Katanya, hasrat Sime Darby untuk menguasai pegangan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, yang mengendalikan IJN, masih pada peringkat perbincangan.

"Modus operandi yang sedia ada tetap akan dikekalkan jika hasrat syarikat korporat itu (Sime Darby) untuk menguasai pegangan dalam IJN tercapai," katanya kepada pemberita selepas melawat dua pesakit yang menghidap "Dilated Cardiomyopathy" di IJN di sini hari ini.

Liow berkata, kerajaan akan terus memberi bantuan kepada 80 peratus pesakit kerajaan yang dirawat di IJN walaupun organisasi lain mengambil alih IJN.

"IJN mempunyai 80 peratus pesakit daripada kerajaan termasuk pesakitpesakit miskin, mereka dihantar oleh kerajaan dan kos rawatannya ditanggung oleh kerajaan.

"Oleh itu IJN tidak boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan jika diambi lalih organisasi lain," katanya.

Liow berkata, Sime Darby harus mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial jika ingin mengambil alih IJN.

"Sime Darby atau siapapun yang ingin mengambil alih IJN perlu mempunyai komitmen yang penuh terhadap tanggungjawab sosial dan perlu meneruskan komitmen itu serta menjaga kesejahteraan orang ramai yang memerlukan bantuannya," katanya.

Beliau berkata, cadangan yang dihantar Sime Darby masih dikaji pada peringkat Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi.

KOMEN MCA

MCA berharap agar IJN tidak diswastakan kerana ia selama ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan imej kerajaan dan membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, institusi kerajaan itu banyak mengharumkan nama kerajaan.

"Kita berharap IJN tidak diswastakan. Ini bukan soal wang dan ringgit. Ini soal tanggungjawab kerajaan untuk memastikan dapat memberikan perkhidmatan dengan bayaran yang mampu dibayar oleh rakyat.

"Dalam konteks ini IJN sudah mencapai kejayaan cemerlang dan sedikit sebanyak meningkatkan imej kerajaan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab di mana duit tidak boleh membelinya (imej itu)," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, banyak projek yang diswastakan di negara ini mengakibatkan bayaran yang meningkat dan beliau tidak melihat manamana projek yang diswastakan bayarannya menurun.

Dr. Chua berkata, aspek kedua yang penting ialah sama ada penswastaan boleh menjamin kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan.

"Sudah tentu apabila bayaran meningkat ia akan membebankan rakyat (berpendapatan rendah)," katanya.-Mstar