16 Disember 2008

MB pertahan keputusan tukar kereta.

ALOR STAR 14 Dis. - Menteri Besar Perak mempertahankan keputusan untuk menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri meskipun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan Perak berpendapat penggunaan kereta buatan Jepun itu memberi jaminan dan khidmat yang lebih baik berbanding Proton Perdana.

"Kita rasakan penggunaan kenderaan Exco dan pegawai cukup lasak dan Toyota Camry merupakan satu model yang boleh melalui proses demikian dengan harga berpatutan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjung hormat ke pejabat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan Perak akan mengubah keputusan mengenai kelulusan penggunaan kereta Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive selepas pelbagai pihak mengkritik tindakan itu.

Kelmarin, Kerajaan Perak dilaporkan meluluskan pembelian 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan Perak akan meneruskan rancangan penukaran kereta berkenaan tetapi belum memutuskan bila kerana perlu menilai kemampuan kewangan negeri.

Ditanya tindakan tersebut sebagai tidak patriotik, beliau berkata: "Hanya kerana pakai kereta tempatan kita dipanggil patriotik? Saya rasa masalah ini tidak timbul."

Kenyataan beberapa pemimpin pembangkang di Perak yang mengatakan tindakan ini tidak patriotik dan penghianat adalah tidak berasas kerana segala penjelasan dan kelemahan pengunaan kerata nasional itu telah dibentangkan dalam Sidang Bajet DUN Perak yang lepas.

Isu yang sama juga telah menyeret kepada keputusan Kerajaan BN Terengganu untuk mengganti kereta tersebut dengan kereta Mercedes Benz.