30 Disember 2008

Tunku Mukhriz dilantik Yang di-Pertuan Besar ke-11

KUALA PILAH: Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Mukhriz Tuanku Munawir dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dengan Istiadat Pemasyhuran baginda diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, jam 3.46 petang ini.

Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru itu diadakan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman kerana angin ahmar, pagi kelmarin.

Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru diputuskan oleh Datuk Undang Yang Empat, iaitu Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Undang Luak Johol, Datuk Undang Luak Jelebu dan Datuk Undang Luak Rembau mengikut Perlembagaan Negeri.

Pelantikan pengganti Almarhum Tuanku Ja'afar membabitkan di kalangan Putera Yang Empat iaitu terdiri daripada Tunku Mukhriz; Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nazaruddin Tuanku Ja'afar.