09 Februari 2009

'Saya terkejut dengan sikap Setiausaha Kerajaan Perak' - Nizar

IPOH, 7 Feb - "Saya ingin sampaikan salam kepada semua kakitangan kerajaan negeri yang selama ini telah memberikan khidmat cemerlang sepanjang saya menerajui kerajaan Pakatan Rakyat Perak."

Demikianlah kalimat pertama yang diucapkan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin dalam ucapan ringkasnya di hadapan kakitangan kerajaan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, semalam.

"Saya ingin berpesan kepada kalian agar meneruskan kerja-kerja baik yang telah dilaksanakan sepanjang 11 bulan yang lalu. Insya-Allah, kita akan bertemu lagi dengan kejayaan yang lebih besar kerana saya yakin pertolongan daripada Allah makin hampir, tegasnya.

Nizar bersyukur kerana dapat hadir ke SUK hari itu. Bagaimanapun beliau terkejut selepas mendengar arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim supaya Nizar dan para wartawan yang hadir dalam satu sidang media keluar dari pejabat Menteri Besar.

"Ia merupakan pertama kali beliau bersikap begitu sepanjang saya menjadi Menteri Besar dan saya yakin Dato Abdul Rahman akan menjadi penyebab kejatuhan kerajaan BN selepas ini," kata Mohamad Nizar.