21 Mac 2009

Cadangan Zaid minta Agong tidak lantik Najib PM berniat jahat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri baru, adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata cadangan berkenaan jelas mahu menimbulkan kegelisahan di kalangan anggota Umno khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Muhyiddin mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim meminta Yang diPertuan Agong melantik Perdana Menteri baru dari kalangan anggota Parlimen yang boleh diterima rakyat.

Berucap pada satu majlis semalam, Zaid berpendapat pelantikan bakal Presiden Umno, Najib sebagai Perdana Menteri akan memecahbelahkan rakyat negara ini.

Muhyiddin berkata kenyataan Zaid itu langsung tidak menyumbang untuk menyatupadukan rakyat negara ini dan jelas mencerminkan sikap sebenar Zaid yang "menangguk di air keruh" dan "gunting dalam lipatan".

"Saya juga dengan sekeraskerasnya menafikan dakwaan Zaid kononnya pemilihan Perdana Menteri menjadi begitu genting sekarang ini. Proses peralihan kepimpinan Umno berjalan begitu lancar dan terbukti Najib telah mendapat kepercayaan besar bahagian Umno seluruh negara sebagai Presiden Umno yang baru," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata sudah termaktub dengan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah artikel 43(2)(a) bahawa Yang diPertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat baginda mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan itu, sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai jemaah menteri.

"Dalam hubungan ini, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat di mana Umno sendiri mempunyai bilangan kerusi tertinggi di kalangan parti komponen BN," katanya.

Beliau berkata pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri akan dapat menyatupadukan rakyat negara ini yang sedang berhadapan kesukaran disebabkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab seperti Zaid.

"Sehubungan itu saya ingin menasihati orang ramai dan anggota Umno agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah Zaid yang terangterang berniat jahat, tidak bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan dirinya mengatasi kepentingan negara," katanya.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kenyataan Zaid itu tiada kewarasan kerana sudah menjadi amalan bahawa sesiapa yang dipilih menjadi Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri dan proses peralihan kuasa antara Najib iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap akan berjalan lancar.

Mohd Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata apa yang penting adalah kerajaan perlu terus fokus dalam pentadbiran dan pengurusan di samping memberi khidmat kepada rakyat.

"Itu pandangan dia (Zaid), dia mempunyai hak. Saya yakin permuafakatan yang ada antara perdana menteri dan timbalan perdana menteri akan berjalan lancar. Jangan dengar apa yang berlaku di luar, apa yang penting adalah memastikan supaya negara dapat ditadbir dengan baik agar terlepas dari belenggu krisis ekonomi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2009 di Kompleks Kraf di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap, Mohd Shafie berkata jualan yang direkodkan sehingga semalam ketika promosi kraf Malaysia di Harrods, London sejak 25 Feb lepas adalah sebanyak RM631,000 dan produk yang terlaris adalah batik.

Beliau menjangkakan negara akan memperolehi keuntungan sebanyak RM1 juta daripada hasil jualan kraf di gedung terkemuka itu sebaik promosi berakhir pada 28 Mac ini.Mstar

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"Mohd Shafie berkata jualan yang direkodkan sehingga semalam ketika promosi kraf Malaysia di Harrods, London sejak 25 Feb lepas adalah sebanyak RM631,000 dan produk yang terlaris adalah batik."

Komen: Boleh pak menteri convert jumlah RM kepada duit orang putih?
Rasa-rasanya jumlah jualan tu tak berbaloi dibanding dengan kos/sewa/tambang dan lain2 untuk kesana. Janganlah nak kaburkan mata rakyat dengan jualan dalam RM. Kononnya memperolehi jualan yang banyak. Itulah perangai menteri kita. Apa salahnya sebut saja dalam mata wang asing? Mungkin jika dilakukan sedemikian, nanti pecahlah tembelang....
jualan yang tak berbaloi dengan kos!!!!