11 Mac 2009

Masjid di Yaman Menjadi Pusat Tarbiah Kanak-kanak

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

Minggu lalu saya telah menulis tentang pelajar sekolah di Yaman diwajibkan hafaz al-Quran (Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 27 Feb-1 Mac 2009, m/s F15). Saya juga membuat perbandingan dengan sistem pendidikan di Malaysia di mana subjek agama seakan-akan terpinggir dan bukan satu keutamaan dalam membentuk syakhsiah pelajar. Kemudian saya juga ada menyentuh tentang JQAF yang masih belum dapat memperkasakan pendidikan agama Islam. Lalu keruntuhan akhlak di kalangan para pelajar sangat merunsingkan, membimbangkan dan membahayakan.

Kebetulan saya berhubung dengan seorang teman yang kini sedang berkhidmat mengajar JQAF di salah sebuah sekolah rendah di Malaysia . Setelah bertukar-tukar pandangan dengan beliau, saya perlu bersikap adil terhadap isu ini. Menurut beliau, JQAF yang merujuk kepada pengajaran tulisan Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardhu Ain ini dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah. Sekiranya kita ingin menilai tahap keberkesanannya, kita perlu menunggu setelah 6 tahun ketika para pelajar ini memasuki sekolah menengah. Keruntuhan akhlak yang berlaku pada para pelajar sekolah menengah pada ketika ini tidak boleh disandarkan pada kelemahan JQAF. Menurut beliau lagi, sememangnya terdapat kelemahan dari segi pelaksanaan sistem ini. Di mana waktu yang diperuntukkan kepada para pelajar untuk subjek-subjek tersebut dalam tempoh seminggu tidak mencukupi dan kadang kala pemilihan masa yang tidak sesuai membuatkan mereka tidak dapat memberikan tumpuan dalam kelas. Teman saya ini mengakui bahawa sukatan pelajaran yang banyak perlu dihabiskan dalam tempoh yang singkat dan ini agak membebankan para pelajar.

Begitulah pendidikan Islam ini tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa. Apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah pendidikan agama ini juga perlu dibudayakan dalam masyarakat kita. Masjid-masjid juga harus berperanan menjadi pusat tarbiah kanak-kanak. Di Yaman, golongan pemuda memainkan peranan yang cukup besar dalam memakmurkan masjid-masjid. Pada musim cuti sekolah, mereka akan menganjurkan kem hafazan al-Quran untuk pelajar sekolah rendah. Setiap hari, para pelajar ini akan diberikan peluang memperdengarkan bacaan al-Quran daripada surah-surah yang telah dihafaz di hadapan para jemaah masjid selepas solat berjemaah. Bukan sekadar itu, mereka juga diajar untuk menghafaz hadis-hadis Nabi s.a.w berserta doa-doa harian.

Sebenarnya inilah yang dapat membantu keberkesanan pendidikan agama yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Para pelajar dapat menghayati apa yang dipelajari di sekolah dalam suasana kehidupan masyarakat. Di Yaman, di kebanyakan masjid, kita akan dapati terdapat pengajian kitab-kitab turath merangkumi ilmu fekah, tafsir, hadis dan lain-lain. Yang paling penting, satu ruang khas akan diperuntukkan bagi pengajian al-Quran untuk kanak-kanak.

Di sesetengah masjid, pengajian al-Quran ini tidak hanya tertumpu pada musim cuti sekolah. Malah, ianya sudah menjadi satu trend institusi masjid itu sendiri. Iaitu berperanan sebagai pusat pengajian al-Quran dan ilmu-ilmu agama. Setahu saya, pengajian ini dibuat secara percuma dan kebiasaannya dikendalikan oleh imam masjid atau anak-anak muda tempatan yang sudah dapat menguasai ilmu tajwid dan fardhu ain dengan baik. Selepas solat asar dan maghrib berjemaah, kanak-kanak akan beredar ke bahagian belakang masjid dan duduk dalam halaqah masing-masing.

Ada juga yang kelihatan memperdengarkan hafazan al-Quran di hadapan imam masjid. Melalui sistem ini, ada kanak-kanak yang sudah menghafal 10 juzuk sehingga seluruh 30 juzuk al-Quran al-Karim! Mereka juga akan memperolehi sanad al-Quran yang bersalasilah sampai kepada Rasulullah s.a.w sekiranya memperdengarkan bacaan di hadapan syeikh-syeikh yang memiliki sanad al-Quran.

Malah di masjid-masjid ini juga, kanak-kanak ini telah diasuh semenjak kecil untuk memahami tanggungjawab diri mereka terhadap umat Islam yang lain. Salah serang guru kami Syeikh Hilal Hizam Sanad pernah mempelawa kami menziarahi masjid beliau. Kami diminta menyampaikan sepatah dua kata di hadapan para pelajar yang berjumlah sekitar 100 orang untuk memberikan kata-kata semangat kepada mereka. Salah seorang rakan saya dari Kosovo telah berucap suatu kata-kata yang meninggalkan kesan dalam hati mereka. Katanya, “..kita semua adalah umat yang satu. Tiada bezanya bangsa Arab, Asia atau Eropah melainkan dengan takwa.. kerana itu kita mesti mengembalikan kesatuan umat Islam ini di bawah pemerintahan khilafah pada suatu hari nanti.”

Selepas itu, salah seorang pemuda yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak ini bangun lalu berkata: “Mereka ini telah datang dari jauh untuk mempelajari al-Quran dan ilmu-ilmu Islam, adakah kamu semua yang berada di sini hendak bermain-main?” Mereka menjawab, “Tidak!” Sambungnya lagi, “Kamu semua mesti bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran dan beramal dengan ajaran-ajaran Islam. Pada hari ini umat Islam menjadi hina apabila mereka meninggalkan al-Quran dan Sunnah. Kita mesti mengembalikan kekuatan umat Islam. Siapakah yang akan membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa?!” Mereka menjawab beramai-ramai, “Saya!!”. “Siapakah yang mahu mati sebagai syuhada?” Mereka menjawab lagi dengan suara yang deras, “Saya!!!”

Tujuan saya menceritakan ini semua bagi menggambarkan kepentingan masjid di Yaman sebagai pusat tarbiah untuk mendidik generasi muda mereka dengan al-Quran dan akhlak yang mulia. Kerana itu dalam peristiwa Hijrah, perkara yang utama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika sampai di Madinah ialah membina masjid. Di situlah pusat perpaduan dan kekuatan umat Islam. Di situlah tempat untuk kita mendidik generasi muda kita.

1 ulasan:

daLyaanoon berkata...

Slm YB,
untuk makluman sebahagian besar pelaksaan j-QAF adalah untuk pemulihan seperti program KIA 2M utk subjek bahasa Malaysia. ini bertujuan memfokuskan kepada murid2 yang tecicir dil dlaam kelas. seperti tidak dapat membaca al-quran, kurang mahir membaca dan menulis jawi. Secara keseluruhan ianya membantu pengajaran guru2 pendidikan ISlam.

Sekian.wassalam