08 Julai 2009

CINTA DUNIA

Oleh : anuarani
Cinta dunia adalah ibu segala kejahatan. Bila dikatakan ibu itu maksudnya daripada cinta dunia lahirlah berbagai kejahatan lain. Boleh juga dikatakan
ianya sebagai pokok kepada segala kejahatan. Daripada pokok cinta dunia itu,
lahirlah buah-buah kejahatan lain. Maksudnya di sini, kalaulah hendak
bebaskan diri daripada berbagai kejahatan, pokoknya kenalah ditebang. Iaitu,
cinta dunia itu hendaklah dibersihkan daripada diri dan diganti dengan cinta
Tuhan. Tidak akan bersatu dua cinta dalam satu hati. Kalau hati cinta dunia,
mana mungkin cinta Tuhan akan duduk di dalam hati. Kalau hati cinta Tuhan,
insyaAllah cinta dunia tak dapat duduk di dalam hati.

Buang cinta dunia bukan bererti membuang atau menolak dunia. Dunia itu perlu
dalam kehidupan. Dunia itu adalah wadah untuk menuju akhirat. Yang
dikehendaki adalah menggunakan dunia itu dengan sebaik mungkin, tetapi hati
tidak jatuh cinta dengannya. Hati tidak terpaut dengan dunia. Mudah sahaja
dunia itu boleh dilepaskan. Dunia itu tidak mempengaruhi hati sehingga lalai
daripada Tuhan. Dunia itu tidak memesong hati daripada cinta Tuhan.

Apakah tanda-tanda seseorang itu sudah cinta dunia, mari kita lihat
contoh-contohnya:

1. Bila tiba waktu sembahyang, seseorang itu dengan sengaja melewat-lewatkan
sembahyang kerana lebih mengutamakan kerjanya.
2. Orang yang suka pada jawatan malah berebut-rebut untuk menjadi pemimpin
3. Orang yang kaya tetapi bakhil untuk mendermakan hartanya untuk tujuan
kebaikan
4. Orang yang suka membazir pada barang-barang yang tidak perlu
5. Membuat kerja dengan mengharapkan pujian dan sanjungan orang
6. Membiarkan jiran-jiran dalam serba kekurangan padahal diri dan keluarga
hidup dalam bermewah-mewahan
7. Sangat cinta pada diri sehingga mudah merajuk dan sakit hati bila dirinya
ditegur dan dimarahi atas kesilapan yang dilakukannya

Moga-moga kita terhindar daripada cinta dunia dan menjadi orang yang hatinya
mencintai Tuhan. Sekian.

Wallahu'alam

Tiada ulasan: