02 November 2009

Anda mungkin boleh batal solat

Ahmad Baei Jaafar

Sewaktu belajar agama di sekolah dahulu, ada ustaz memberitahu bahawa perkara yang boleh membatalkan solat ialah bercakap. Waktu itu, sebagai pelajar tiada persoalan yang mencurigakan kerana hokum itu telah tercatat dalam kitab. Kita terima sahajalah.

Tetapi di dalam hati timbul juga persoalan, “takkanlah tengah solat nak bercakap” kerana sepanjang masa kita perlu membaca doa tertentu selain ayat al-Quran. Jadi, tidak mungkin orang yang solat boleh bercakap.

Walau bagaimanapun dengan kreatif ustaz yang mengajar itu, dia cuba membawa cerita yang pada saya rekaan semata-mata, tidak kena mengena dengan orang yang hidup mahupun yang mati. Kata ustaz, ada tiga orang muallaf melakukan solat di sebuah surau yang ketika itu sudah tidak ada orang lain.

Salah seorang daripada mereka menjadi imam, dan dua lagi menjadi makmum di belakangnya. Yang menjadi imam itu agak lebih lama masuk Islam malah lebih tahu daripada dua sahabatnya walaupun masih jahil. Sewaktu solat salah seorang makmum terlupa bacaan dalam fatihah. Maklumlah dia membaca secara kuat dan terangkak-rangkak.

Oleh sebab bacaan yang agak kuat menyebabkan perbuatannya itu mengganggu makmum seorang lagi. Bacaan yang diulang-ulangkan berkali-kali turut menjadikan bacaan tidak dapat disempurnakan.

Dalam keadaan itu imam terus rukuk dan makmum yang terganggu itu segera menyuruh sahabatnya turut rukuk. “Ikut saja imam rukuk”, beritahunya dalam bahasa Melayu. “Fatihah tak habis lagi macam mana?” tanya balasnya. Namun imam yang sudah rukuk itu tiba-tiba bersuara, “kenapa kamu berdua bercakap?”

Moral storynya, orang yang tidak cukup ilmu untuk solat perlu ikut bersama-sama dengan orang yang benar-benar faham ilmu solat. Tanpa contoh solat yang baik, ketiga-tiga mereka itu telah terbatal solat. Walaupun ini paparan ini sekadar contoh, entah betul atau tidak, tapi yang penting bercakap sewaktu solat boleh membatalkan solat.

Mendengar cerita itu saya rasa selamat kerana kesilapan itu hanya boleh berlaku kepada orang yang baru belajar solat atau orang yang baru masuk Islam. Maka orang yang sudah lama Islam tidak mungkin boleh tersilap seperti itu.

Tetapi tahukah anda, pada hari ini ramai umat Islam bercakap dalam keadaan dia melakukan solat, tetapi dia terus melakukan solat tanpa sedar bahawa dia sudah terbatal. Ya, ramai yang tidak sedar, tetapi tahukah anda sewaktu melakukan solat berjemaah ada jemaah yang sempat membaca tulisan pada baju T jemaah yang berdiri di hadapannya.

Benar, mereka membaca di dalam hati, dan keadaan itu tidak salah dan tidak membatalkan solat. Namun walaupun mereka membaca dalam hati, kita tidak tahu mungkin sesaat bergerak juga lidah untuk membacanya. Maka ketika itu sudah boleh membatalkan solat.

Saya sendiri ada pengalaman, pernah bersolat di belakang remaja yang memakai baju T bertulis kata-kata yang menarik. Ada juga yang tulisannya seperti buku sejarah dan tidak kurang juga yang menggunakan bahasa gila-gila. Ya, tanpa sedar kita terpanggil untuk membaca kata-kata itu.

Oleh sebab itulah ada ulama yang mengharamkan orang yang bersolat memakai baju T yang bertulis atau bergambar baik di hadapan mahupun belakang. Mungkin dengan pemakaian itu menyebabkan orang lain terbatal solat. Jadi, jangan pakai baju T seperti itu lagi demi menghormati ibadah solat.

7 ulasan:

hafizzuddin berkata...

ilmu yang berguna.Solat ialah tiang agama, jika rapuh tiangnya maka runtuhlah binannnya. Sanggupkah kita meruntuhkan agama? Subbhanallah, mohon dijauhkan.

Solat yang sempurna adalah solat di belakang imam kerana dijanjikan 27 ganjaran. sama-samalah kita menyempunnakan Solat sebagaimana yang dituntut. Imarahkan lah masjid-masjid atau musollah-musollah kita, jadikanlah jemaah solat subuh itu sama ramainya seperti jemaah solat jumaat kerana inilah tanda kehancuran kepada yahudi dan musuh-musuh Islam.

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah.....terima kasih atas coretan ini.

Tanpa Nama berkata...

apakata badan mengahdap kiblat sedangkan hati nun jauh mengelamun...mungkin teringat sesuatu. perkara ini adalah lebih bahaya lagi. mulut berkomat kamit mebaca surah alquran tapi jiwa tidak ada ditempat sembahyang. tidakkah ini telah membatalkan solat.

TokTam berkata...

Maaf cakap. Solat tanpa hadir hati tetap kena solat atau solat tak ikhlas tetap kena solat tiada alasan. Kot nak kata aku solat tak khusyuk jadi aku tak boleh solat sehingga aku khusyuk, sampai mati pun belum tentu boleh khusyuk jadi bila kita nak solat...

Saiful berkata...

Patutnya Jabatan Agama mengambil perkara-perkara seperti ini untuk dijadikan bahan khutbah. Walaupun nampak macam remeh tapi ia penting bagi meningkatkan kualiti solat. Jemaah perlu selalu diperingatkan bahawa mengganggu solat orang lain, dalam apa juga bentuk - pakai t-shirt ke, baca Quran kuat-kuat ke, wirid kuat-kuat ke - boleh mendatangkan dosa kepada yang mengganggu. Ini lebih baik daripada membawa tajuk-tajuk yang sudah kerap dibincangkan di dalam media elektronik atau di dada-dada akhbar.

Tanpa Nama berkata...

melihat keadaan itu bukan sahaja baju yang bertulisan tidak elok dipakai sewaktu solat tetapi kain pelikat yang berbagai jenama juga hendaklah dielakkan kerana akan menarik minat orang lain membacanya, lebih2 lagi yang mahal2 dan cantik kainnya. minangkabau

Tanpa Nama berkata...

Banyak juga bengkel solat atau bengkel sifat solat nabi yang dianjurkan di banyak tempat.

Memang semua patut join jika berkesempatan.
Ada banyak versi....
Semuanya bermanfaat, insyaALLAH.