03 Januari 2010

Guna Kalimah Allah secara tepat tanpa seleweng

17 Muharram 1431

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Jan: Biarpun akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dalam penerbitan mereka, namun penggunaan kalimah tersebut perlu diguna secara tepat dengan maksud yang tidak menyeleweng dari kefahaman sebenar 'Allah' kepada umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu namun diharap penggunaannya pada tujuan yang baik dan bukan untuk dipermainkan sewenangnya.

"Selagi mana kalimah Allah itu digunakan dengan tujuan yang baik, dengan benar menyatakan Allah itu satu, Allah itu Esa tanpa sebarang penyelewangan dan pengkhianatan terhadap maksud sebanar Allh, maka itu dibenarkan.

"Pendirian kami, siapun pihak hatta umat islam sendiri pun sekiranya hendak menggunakan kalimah Allah, hendaklah menggunakan dengan penuh hormat tanggungjawab bukan menggunakannya dalam maksud mempersenda, mempermain, mengambil mudah dengan kalimah tersebut", kata beliau ketika diminta mengulas perkara itu baru-baru ini.

Beliau juga tidak menolak kebimbangan sesetengah pihak bahawa kemungkinan penggunaan kalimah tersebut disalahguna.

Jika keadaan itu berlaku, beliau bimbang ianya akan mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia memandangkan ianya sangat sensitif.

"Ada pun yang kita bimbang ialah jika sekiranya penggunaan itu adalah penggunaan untuk mempersenda mempermainkan kalimah Allah dan meletakkan kalimah itu di merata tempat tanpa menghormati sensiviti umat Islam, dan itu adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian", katanya lagi.

Beliau juga tidak membantah sekiranya Kementrian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan membatalkan keputusan itu kerana merupakan hak KDN dan ada kewajarannya untuk menjaga penggunaan kalimah 'Allah' dari di seleweng dan salahguna.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur , Datuk Lau Bee Lan memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah dan batal.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

KDN bagaimanapun akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

1 ulasan:

Abdullah Ngah berkata...

jika kalimah Allah boleh diguna pakai oleh agama kristian maka kita telah mengiktiraf agama adalah sama dengan mana mana agama didunia ini.

Orang Umno pernah berkata agama adalah sama sahaja. Atas sebab itulah apabila berlakunya murtad mereka tidak sensitif langsung.

Orang melayu boleh pilih mana mana agama yang mereka suka. Jadilah macam di Indonesia. Malaysia pun mungkin jadi begitu.

Jika kalimah Allah boleh digunapakai oleh kristian, rakyat akan beranggapan agama krsitian juga betul sedangkan agama hanya islam sahaja yang diterima.