15 Mac 2010

Himpunan bantah GST esok ditangguh

28 Rabiulawal 1431H
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Perhimpunan aman bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dirancang diadakan esok, ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan, kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Keputusan itu dibuat Protes ekoran penangguhan pembentangan rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan itu untuk bacaan kedua pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Perkara itu diumumkan Protes pada sidang media mereka di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut sebentar tadi.

Hatta menyifatkan penagguhan yang dibuat kerajaan sebagai suatu kemenangan kepada rakyat.

Namun Protes ujarnya akan terus melaksanakan kempen sehingga kerajaan benar-benar membatalkan hasrat perlaksanaan cukai itu.

Sebelum ini Protes mengumumkan akan mengadakan perhimpunan aman selama sejam, mulai 9 pagi di sekitar kawasan jejambat Lebuh Raya Mahameru, berdekatan bangunan Parlimen, sebelum sidang baru Dewan Rakyat bermula esok.

Mereka mensasarkan kira-kira 2,000 orang akan menyertai perhimpunan itu termasuk ahli parlimen Pakatan Rakyat dan anggota pertubuhan hak asasi manusia dan parti-parti pembangkang yang membantah pelaksanaan GST.

Ianya juga bagi menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang akan merasmikan perbahasan Dewan Rakyat sesi ini.

Laporan penuh menyusul..

Harakahdaily.net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bil nak mansuh ISA lagi?