01 Julai 2010

Rayuan untuk bersihkan nama – Tian Chua

17 Rejab 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua memberitahu tindakannya memfailkan rayuan berhubung keputusan bersalah yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret ekoran menghalang tugas polis dengan menggigitnya adalah bagi membersihkan imej beliau.

"Saya boleh membuktikan bahawa saya tidak melakukan apa-apa tindakan yang menyebabkan kecederaan kepada anggota polis tersebut.

"Bukti yang kita kemukakan kepada majistret tidak disemak semula oleh Mahkamah Tinggi, mahkamah cuma menerima dan tidak mempertikaikan keputusan majistret dan langsung tidak melihat kepada bukti-bukti yang diberikan," katanya ketika ditemui di luar pejabat pembangkang di parlimen hari ini.

Tian didapati bersalah kerana mengiggit seorang konstabel polis ketika ditahan di sebuah protes di bangunan parlimen, tiga tahun lalu.

Beliau bagaimanapun hari ini mengemukakan permohonannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan majistret yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap beliau.

"Saya berharap Mahkamah Rayuan akan menyemak semula fakta-fakta yang dikemukakan kepada majistret," katanya lagi.

Rayuan yang dibuatnya ini juga jelasnya, tiada kaitan langsung dengan pertikaian status jawatannya sebagai Ahli Parlimen Batu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: