13 Julai 2010

Najib dicurigai serah tanah kepada Singapura

29 Rejab 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus dicurigai rakyat selagi beliau sendiri enggan menjelaskan tujuan sebenar tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar diserahkan kepada kerajaan Singapura.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, selagi Najib tidak menjelaskan mengapa tanah itu diserahkan kepada Singapura, selagi itu rakyat terus sangsi dengan kabinetnya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat berkata, tindakan Najib yang seakan menjual kedaulatan negara itu akhirnya banyak menimbulkan kesedaran rakyat, khususnya kaum Melayu sendiri.

Pun begitu, beliau berkata, jentera pemuda PAS khususnya di negeri Johor tidak wajar bergantung pada isu tersebut semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS negeri sepatutnya menggandakan program bersama rakyat dengan turut mendedahkan kegiatan Najib menggalakkan campur tangan Singapura dalam perlaburan di Wilayah Pembangunan Malaysia (WPI) belakangan ini kepada rakyat.

"Najib minta kita (PAS) dan rakyat bersikap terbuka dalam isu WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar) ini, sedangkan motif beliau berbaik dengan Singapura tidak pula didedahkan kepada kita dan rakyat," kata beliau.

Sehubungan itu, rakyat wajar mempersoal tindakan Najib memelihara kepentingan Singapura di wilayah komersial itu.

"Lihat di WPI, apakah keuntungan yang rakyat dapat apabila tanah ini dibuka untuk pihak luar.

"Berapa banyak premis di WPI dimilik oleh rakyat dan berapa banyak premis di WPI dinikmati oleh pihak luar," katanya.

Tuntas dari itu, beliau mengajak rakyat mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan kembali bersatu mempertahankan kedaulatan negara dari dikhianati oleh pemimpin tertentu yang hanya mementingkan diri semata-mata.

"Tidak ada jalan lain, kecuali rakyat tak kira penyokong kerajaan atau pembangkang, sama-sama kita beri ingatan kepada pemimpin-pemimpin ini," tegas beliau sambil mengajak rakyat melakukan perubahan menggunakan kuasa mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Najib, petang semalam, dilaporkan meminta rakyat supaya bersikap terbuka dalam menilai tindakan kerajaan terhadap Singapura.

"Jika kita mahu melihat Iskandar Malaysia dan Johor maju, kita mesti bersikap terbuka terhadap semua pelaburan," ujar beliau seperti dipetik dari Bernama.

Tambahnya lagi, pelaburan di wilayah komersial itu seharusnya mementingkan keuntungan, sama ada hasil pelaburan Amerika Syarikat mahupun Singapura sendiri.

"Apa yang berbeza di antara pelaburan Singapura dan Amerika Syarikat, tiada bezanya, asalkan menguntungkan," jelas beliau ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pulai, Johor Bahru.

Manakala, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sejak bulan lepas mendakwa tindakan Najib menyerahkan tanah Tanjong Pagar kepada Singapura adalah tidak sah kerana isu itu tidak pernah dibawa ke Parlimen serta diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Harakahdaily/-

2 ulasan:

mat berkata...

Sebelum ni WPI,pastu Pulau Batu Puteh,sekarang ni tanah KTM,Tanjung Pagar...pasni apa plak yer yang hilangnyer????

Tanpa Nama berkata...

a berkata.....
jgn serahkan hak kita kepada org luar....simpan untuk masa depan anak2 kita kelak... duit xleh bawa ke kubur...