05 Ogos 2010

Suhakam, NGO kesal protes anti-ISA dihalang

23 Syaaban 1431 H

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan anti-ISA di Petaling Jaya kelmarin kerana tindakan itu melanggar hak orang awam untuk berhimpun secara aman.

"Pemerhatian Suhakam mendapati bahawa hak untuk berhimpun telah dinafikan apabila pihak berkuasa menghentikan perhimpunan itu dan menyuraikan orang ramai dengan tergesa-gesa," kata pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam.

"Amaran yang sebaiknya dan masa yagn cukup tidak diberikan oleh pihak berkuasa, yang menyebabkan 22 lelaki dan lapan wanita ditahan kerana disyaki menjadi peserta acara nyalan lilin."

Sempena 50 tahun ISA diperkenalkan, aktivis NGO dan pembangkang berkumpul di pelbagai tempat bagi menyalakan lilin tanda bantahan terhadap akta kontroversiti itu.

Tindakan itu menyebabkan polis menahan 30 orang di Petaling Jaya, empat di Pulau Pinang dan dua di Kelantan atas alasan terlibat dalam perhimpunan tanpa permit.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hasmy mengingatkan polis terhadap cadangan yang dibuat hasil daripada pendengaran awam kes perhimpunan di lebuh raya Kesas dan KLCC - atau dikenali sebagai 'Bloody Sunday' (kiri) - sebelum ini.

"Suhakam mencadangkan dalam suatu keadaan apabila polis perlu mengawal atau menyuraikan orang ramai, waktu yang cukup dan cara yang tidak ganas hendaklah digunapakai," katanya sambil mendakwa Suhakam memerhatikan secara langsung demonstrasi di Petaling Jaya pada malam minggu sebelum ini.

NGO: Bongkar muka munafik

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa hak orang ramai untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Sementara itu beberapa kumpulan NGO hari ini turut mengecam tindakan polis membuat tangkapan "besar-besaran" dengan mendesak Menteri Dalam Negeri Tan Sri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan.

Tiga badan itu - Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) dan NGO pendidikan Pusat Pembangunan LLG - mendakwa Hishammuddin 'melanggar' janjinya pada Jun lalu bahawa pindaan ISA akan menjamin hak berhimpun.

"Tetetapi kami berpendapat, tangkapan besar-besaran (pada) 1 Ogos telah bercanggah dengan janji kerajaan dalam pemindahan (pindaan) ISA, membongkarkan muka munafik kerajaan yang mengabaikan hak-hak sivil rakyat," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, Pemuda PKR Pulau Pinang pula menyifatkan justifikasi polis bagi menghalang perhimpunan itu dengan mengatakan sebagarai ‘haram' merupakan tindakan yang cukup simplistik.
"Pihak polis barangkali buat-buat lupa terhadap pengisytiharan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sebelum ini telah menyediakan Speakers Corner khas untuk rakyat menyatakan sebarang ekspresi diri terhadap apa jua isu semasa yang berlaku," kata setiausahanya Syed mikael Rizal Aidid.

"Penganjur juga telah menuruti arahan kerajaan negeri untuk tidak menggunakan sebarang pembesar suara.

"Berdasarkan keadaan ini, pihak polis sewajarnya menghormati perhimpunan dan hak rakyat ini, dan bukannya menimbulkan lagi suasana tegang.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: